Malaysiakini
BERITA

Husam tetap hadir mesyuarat PAS Kubang Kerian

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Mei 2016, 9:17 pagi

Datuk Husam tetap hadir ke mesyuarat PAS kawasan Kubang Kerian hari ini walaupun telah dipecat daripada parti itu.

Beliau malah berkongsi gambar di Facebook, yang menyaksikan bekas naib presiden PAS itu berucap di rostrum dengan logo PAS.

Beliau semalam berkata akan hadir dalam acara itu kerana belum dimaklumkan secara rasmi berhubung pemecatannya.

Husam antara pemimpin kanan PAS yang tersingkir beramai-ramai dalam pemilihan PAS tahun lalu kepada kumpulan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, berbeza dengan pihak lain yang menubuhkan parti Islam baru Parti Amanah Nasional (AMANAH), Husam memilih kekal bersama PAS sehinggalah diumumkan dipecat semalam.

Malah, Husam ketika berucap sebagai tetamu jemputan pada mesyuarat itu turut mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib.

Katanya, ketua jawatankuasa itu Dr Sanusi Daeng Mariok tidak mempunyai intergriti untuk mengadili kes terbabit kerana didakwa sejak sekian lama memfitnahnya.

Husam hadir ke mesyuarat tersebut namun tidak dibenarkan berucap sebagai Yang Dipertua Kawasan kerana telah dipecat.

Sekitar 1000 perwakilan dan pemerhati memenuhi dewan dan turut berada di luar dewan.

Terdahulu Husam dilaporkan disambut ratusan penyokong di balai ketibaan lapangan terbang Sultan Ismai Petra sambil bertakbir.

Dalam ucapan ringkas kepada penyokong yang mengiringinya hingga ke rumah, Husam meminta semua pihak bertenang dan tidak bertindak terburu-buru selain berharap agar jawatankuasa disiplin parti mengkaji semula pemecatannya dari PAS.

"Saya masih belum menerima makluman daripada parti dalam sebarang bentuk, bertulis atau melalui telefon, whatsapp atau media lain," kata Husam dipetik Malaysia Dateline sebaik memasuki balai ketibaan jam 11.00 malam.

Menurut Husam lagi, beliau masih berbincang dengan peguam tentang apa tindakan berikutnya kerana bagi beliau apa yang terjadi ialah penghakiman melalui media tanpa sebarang prosedur biasa dari segi pelaksanaan keadilan.

Turut difahamkan penyokong beliau juga mengadakan solat hajat di masjid bersebelahan rumah beliau di Salor sebelumn beramai-ramai ke lapangan terbang untuk menunjukkan solidariti bersama Husam.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.