Malaysiakini
BERITA

Najib sahkan jasad kedua ditemui adalah KSU kementerian

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Mei 2016, 8:01 pagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengesahkan jasad kedua yang ditemui pada jam 8.31 pagi tadi adalah Ketua Setiausaha, Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai.

Jasadnya itu, ditemui kira-kira 10km dari Pusat Mencari dan Menyelamat (SAR) di Lingga, kira-kira 250km dari Kuching.

Dalam perjalanan dari Sebuyau ke Pusat Mencari dan Menyelamat (SAR) di Lingga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menaiki bot menemukan mayat ketiga terapung di sungai Batang Lupar hari ini.

Sementara itu, portal Utusan Online, memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan penemuan jasad ketiga pada 12.04 tengah hari di tengah-tengah Sungai Batang Lupar.

"Saya ternampak mayat yang terapung dan terlangkup kira-kira 12.04 tengah hari ini dan pada masa sama berasa sedih akan kejadian yang berlaku ini.

"Saya meminta orang ramai tidak menyebarkan berita tidak tepat terutama dalam media sosial," katanya yang dipetik portal itu.

Ia juga melaporkan mayat ketiga itu ditemukan dalam jarak lima kilometer dari Pusat SAR.

Sehingga ini tiga jasad nahas itu telah ditemui selepas jenazah mangsa pertama tragedi terbabit iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dijumpai di tebing Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau, kira-kira 30km dari Lingga, tengah hari semalam.

Penumpang lain yang berada di dalam helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri turut menaiki helikopter yang dikemudi juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang Khamis menghala ke Kuching sebelum terputus hubungan dan hilang dari radar.

Beberapa serpihan pesawat itu ditemui dekat Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau semalam.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.