Malaysiakini
BERITA

Jasad ketiga lengkap berpakaian, ada identititi diri, kata Shahidan

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Mei 2016, 8:08 pagi

Jasad ketiga susulan tragedi helikopter hilang Khamis lalu, ditemukan di Sungai Batang Lupar, Lingga, dekat Sri Aman, hari ini, lengkap berpakaian dan mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata mayat itu terapung di sungai itu pada 12.04 tengah hari, tidak jauh dari kawasan jenazah pertama timbalan menteri dijumpai.

"Biarlah polis umumkan berkenaan identiti mayat," katanya pada sidang media di Sri Aman.

Beliau berkata bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemukan mayat tersebut ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, jurucakap bomba menyatakan mayat ketiga itu ditemukan kira-kira satu kilometer dari kawasan mayat pertama iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon ditemui.

Shahidan berkata bagi tujuan melicinkan perjalanan SAR, beliau selaku menteri bertanggungjawab menjaga hal ehwal bencana, akan menyewa bot-bot penduduk sekitar Batang Lupar bagi membantu operasi.

Selain Noriah, penumpang lain yang berada dalam helikopter tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai dan suami Noriah iaitu Asmuni Abdullah.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan pegawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun turut menaiki helikopter yang dikemudi juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang Khamis, menghala ke Kuching sebelum tragedi itu berlaku.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.