Diminta bayar RM25,000 walaupun tidak pinjam daripada PTPTN
Seorang pengurus sebuah syarikat pengeluaran berasaskan kayu, terperanjat apabila dia menerima tiga penyata daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (TPTPN) Disember lalu, menyatakan yang dia telah meminjam sebanyak RM25,000.
Menurut penyata itu, lima bayaran RM5,000 setiap satu, telah dibuat kepada Tee Chai Chin, dari tahun 2001 kepada 2003, kononnya ketika dia menjadi pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), iaitu sebuah universiti swasta.
Bagaimanapun, menurut Tee, dia hanya menghadiri kelas untuk satu semester sahaja - dari Julai 2000 - dan tidak pernah memohon sebarang pinjaman daripada PTPTN.
Dia telah mendaftar untuk mengikuti kursus peringkat ijazah pentadbiran perniagaan yang memakan masa empat tahun, tetapi hanya menghadiri satu semester sahaja, kerana dia tidak mempunyai cukup masa untuk belajar dan bekerja.
Menurut Tee, dia telah menghubungi PTPTN dan diberitahu, butir-butir dirinya dalam penyata itu, diberikan oleh pihak Unitar. Atas nasihat pegawai di perbadanan itu, Tee menulis kepada PTPTN dan Unitar untuk mendapat penjelasan mengenainya.
Bulan lalu, dia menerima satu salinan surat daripada Unitar, yang dialamatkan kepada PTPTN. Surat bertarikh 20 Januari dan bertajuk "Pemulangan Pinjaman Pelajar", turut menyenaraikan nama Tee dan 25 orang lagi, nombor kad pengenalan mereka jumlah baki pinjaman mereka - antara RM4,600 hingga RM25,572.
Baki pinjaman
Surat tersebut berbunyi: "Pelajar berikut telah menamatkan pembelajaran dengan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar). Dengan itu disertakan sekeping cek bernilai RM446,783.07 sebagai baki duit pinjaman yang dipegang oleh Unitar untuk pelajar tersebut."
Surat tersebut yang diperolehi oleh malaysiakini , menunjukkan, Unitar telah memulangkan RM24,619 sebagai "baki pinjaman" bagi pihak Tee kepada PTPTN, tetapi tiada butir-butir terperinci bagaimana terdapat kekurangan dalam jumlah tersebut, sedangkan Tee dikatakan meminjam RM25,000.
"Selama ini, saya tidak pernah menerima sebarang bayaran atau penyata daripada PTPTN sehinggalah Disember lalu. Saya tidak tahu apakah yang sebenarnya berlaku kerana saya tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian dengan PTPTN dan saya telahpun menjelaskan bayaran tuisyen bagi semester tersebut," kata Tee yang berang dengan apa yang berlaku.
"Ini tidak adil. Saya percaya berlaku amalan rasuah. Saya meletakkan tanggungjawab itu di bahu pihak pengurusan Unitar dan PTPTN," katanya.
Beliau juga mendakwa yang butir-butir dirinya telah disalahgunakan tanpa kebenarannya, tetapi tidak pasti sama ada ianya berlaku kepada 25 pelajar yang turut disenarainya dalam surat tersebut.
"PTPTN telah berkata terdapat pinjaman tertunggak sebanyak RM7 bilion, tetapi adakah ia mengambil kira kemungkinan butir-butir peminjam terbabit telah disalahgunakan?" tegas Tee.
PTPTN, Unitar bertanggungjawab
Sementara itu, ketua bahagian kutipan dan penguatkuasaan PTPTN, Mohd Rusdi Ismail menegaskan, pihaknya tidak akan mengeluarkan pinjaman sebelum perjanjian ditandatangani antara pelajar dan perbadanan tersebut, dan tanpa mendapat mendapatkan pengesahan dan sokongan daripada pihak universiti mengenai status pelajar yang membuat permohonan.
Sebelum tahun 2003, pinjaman PTPTN disalurkan kepada pemohon melalui pihak universiti, yang akan menyerahkan wang tersebut kepada pelajar selepas memotong yuran pelajaran mereka. Ia juga perlu mengesahkan status pelajar sebelum pinjaman itu diserahkan kepada mereka.
Bagaimanapun, sistem tersebut diubah selepas pelajar mengadu lewat menerima wang pinjaman mereka. Berikutan itu, PTPTN memasukkan wang pinjaman terus ke dalam akaun bank pelajar.
Sementara itu, Presiden Unitar, Datuk Dr Syed Othman Alhabashi menafikan yang butir-butir diri pelajar disalahgunakan untuk memohon pinjaman tanpa pengetahuan mereka.
Beliau juga berkata, pihak universiti itu tidak akan menjalankan sebarang siasatan dalaman, berhubung dakwaan Tee itu.
"Saya ragu dengan (dakwaan itu)...tidak mungkin. Mengapa perlunya kita(berbuat demikian)? Kami mengamalkan ketelusan. Tetapi persoalannya sekarang ialah sama ada dia perlu membayar balik wang tersebut. Jika kita sudah membayar bagi pihaknya, maka tiada apa yang hendak dirungutkan lagi," katanya ketika ditemui di universiti tersebut.
Konsep universiti maya
Manakala Naib Presiden Unitar, Dr Sheikh Ghazali Abod, yang bertanggungjawab ke atas operasi universiti tersebut, berkata Tee tidak mungkin dapat menggunakan 'pinjaman' itu kerana dia hanya empat bulan belajar di situ kerana biasanya tempoh kelulusan permohonan pinjaman PTPTN mengambil masa yang lebih lama daripada itu.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjelaskan bagaimana Tee menerima penyata-penyata itu daripada pihak PTPTN.
Malah, katanya, sekalipun jika butir-butir diri Tee telah disalahgunakan, dan tandatangannya dipalsukan, tentunya Tee akan dimaklumkan mengenai permohonannya sepanjang tempoh itu (2001-2003).
"Tetapi ramai pelajar tidak memaklumkan kepada pihak universiti apabila mereka berhenti, sebahagiannya kerana kami beroperasi berasaskan konsep 'universiti maya'. (Kerana kami tidak mengetahui mengenai status mereka), maka pihak universiti masih menangggap mereka sebagai pelajarnya," tegasnya.
(Apabila dihubungi mengenai perkara tersebut, Tee berkata dia tidak memaklumkan kepada pihak Unitar yang dia telah berhenti, tetapi menegaskan, persoalannya ialah mengapa dia disenaraikan sebagai peminjam).
Ditanya mengenai pemulangan pinjaman berjumlah setengah juta ringgit kepada PTPTN, Sheikh Ghazali berkata, jumlah itu disimpan oleh pihak universiti sekiranya ada pelajar yang gagal atau telah menamatkan pengajian mereka.
Dia mendakwa, tidak wujud sebarang kaitan antara pemulangan pinjaman itu dengan surat aduan Tee tersebut.
Masih disenarai berhutang
Apabila malaysiakini membuat semakan dengan pejabat PTPTN mengenai status Tee, dia didapati masih disenaraikan sebagai gagal membayar pinjaman sebanyak RM25,000.
Apabila malaysiakini membuat semakan mengenai status seorang lagi bekas pelajar Unitar yang namanya disebut dalam surat Unitar yang bertarikh 20 Januari itu, dia juga disenaraikan masih berhutang dengan PTPTN.
Mengikut seorang kakitangan di kaunter pertanyaan PTPTN, data dalam sistem komputer di situ telah dikemaskini dan biasanya ia mengambil masa tiga hari untuk merekod bayaran terkini.
Apabila dimaklumkan mengenai hasil semakan tersebut, Tee berkata dia akan meneruskan tindakannya itu, dengan berkata: "Saya merasakan telah ditipu".
Unitar ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai universiti maya yang berstatuskan Koridor Multi-Media yang pertama di negara ini. Ia menawarkan pendidikan tinggi menggunakan teknologi melalui talian.
Canselor universiti tersebut ialah Toh Puan Rahah Mohd Noah isteri kepada Allahyarham Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan ibu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib.
Universiti tersebut adalah milik penuh syarikat tersenarai KUB Malaysia Berhad yang dipengerusikan oleh Datuk Hassan Harun, yang juga menjadi pengerusi Unitar, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno. Beliau juga merupakah ahli lembaga pengarah PTPTN sejak tahun 1998.