Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO Kedah dakwa sindiket guna sijil nikah palsu
Diterbitkan:  May 7, 2016 7:11 PM
Dikemaskini: 11:51 PM

Jawatankuasa Bertindak Nahi Mungkar, Masjid Tunku Abdul Rahman di Alor Setar mengesan terdapat sindiket yang menggunakan sijil pernikahan palsu kononnya dikeluarkan majlis agama di Myanmar bagi memudahkan urusan mendapatkan sijil pernikahan daripada jabatan agama Islam di negara ini.

Pengerusi NGO itu, Mohamed Shariff Nawab mendakwa sindiket itu menawarkan perkhidmatan pernikahan kepada rakyat negara itu yang memiliki kerakyatan Malaysia dengan mengenakan bayaran antara RM800 hingga RM1,000.

Beliau mendakwa sindiket terbabit menggunakan borang dan sijil pernikahan palsu atas nama Islamic Religious Affair Council Union of Myanmar bagi memudahkan urusan mendapatkan sijil nikah daripada Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

"Sindiket guna borang tersebut untuk memudahkan proses mendapatkan sijil pengesahan nikah kepada pasangan tanpa melalui pengesahan Mahkamah Syariah, mengikut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 kerana pernikahan tanpa kebenaran," katanya dalam sidang media, hari ini.

Shariff berkata sebaliknya sijil pengesahan pernikahan akan diproses oleh sindiket tersebut dalam tempoh tertentu.

"Saya bimbang dengan penggunaan sijil nikah palsu, ia mengundang kepada perkahwinan tidak sah," katanya.

Shariff berharap kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawab menyiasat dan mengambil tindakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata pihaknya akan meminta JAIK menyiasat perkara itu dengan segera.

"Bagi warga asing dari negara bergolak seperti Myanmar, mereka boleh melakukan pendaftaran perkahwinan di mana-mana Jabatan Agama Islam negeri dengan melakukan angkat sumpah," katanya ketika dihubungi Bernama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS