Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penurunan 30% jualan akhbar membimbangkan - Perdasama
Diterbitkan:  May 10, 2016 3:43 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Budaya membaca surat khabar yang makin berkurangan dan turut menyumbang kepada penurunan jualan media itu sehingga 30 peratus pada masa ini adalah membimbangkan, kata Persatuan Perdagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).

Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, ini terjadi dipercayai ekoran kesan sikap kebergantungan dengan maklumat-maklumat melalui penggunaan alat komunikasi seperti komputer dan telefon pintar.

"Amalan membaca yang kian terhakis khususnya di kalangan anak muda Melayu hanya membawa kesan buruk kepada mereka untuk jangka masa yang panjang.

"Situasi ini amat membimbangkan apabila budaya membaca surat khabar makin berkurangan kesan daripada kebergantungan terhadap maklumat melalui penggunaan alat komunikasi seperti komputer dan telefon pintar," katanya dalam kenyataan.

Laporan oleh Biro Audit Pengedaran (ABC) menunjukkan jualan surat khabar di Malaysia menunjukkan kemerosotan antara bulan Januari hingga Jun 2015 berbanding tempoh yang sama dua tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, ABC turut menunjukkan bahawa penggunaan media digital yang mencatatkan peningkatan sebanyak 148 peratus untuk tempoh dua tahun berakhir 2015 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Moehamad Izat berkata, pihaknya yakin akhbar masih menjadi bahan bacaan utama bagi golongan pelajar untuk meningkatkan mutu bahasa mereka.

Ia bukan hanya digunakan sebagai rujukan bagi bahasa Inggeris malah turut menjadi rujukan dalam penulisan dan penggunaan bahasa Malaysia, ujar beliau.

"Jika tidak membaca surat khabar, saya pasti masyarakat khususnya golongan muda akan jauh ketinggalan. Surat khabar bahasa Inggeris memberi manfaat dalam penggunaan bahasa Inggeris dan akhbar bahasa Malaysia akan memberi faedah kepada penggunaan bahasa rasmi negara.

"Oleh itu, surat khabar mempunyai kekuatannya tersendiri dan tidak harus di jadikan bahan bacaan ‘lapuk’ dengan hanya mengejar kecanggihan teknologi digital yang tidak mempunyai ‘kekayaan’ bahasa untuk digunakan dalam pembelajaran terutamanya kepada golongan muda di sekolah dan universiti," tambah beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS