Pemimpin akar umbi DAP, Hew Kuan Yew yang sering digelar Superman menafikan dirinya seorang anti-Melayu.
Sebaliknya, beliau mengakui dirinya adalah anti ahli politik BN dan PBB yang mengamalkan rasuah semasa berkempen pada pilihanraya negeri Sarawak, baru-baru ini.
"Jika saya anti-Melayu, saya tidak akan merayu agar para pengundi untuk menyokong Abdul Aziz Isa dan menolak calon PKR yang berbangsa Cina," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Hew seorang penceramah DAP yang lantang dan ada kalanya dianggap celupar juga menyifatkan dirinya bukan juga cauvinis Cina.
Beliau mengulas video ceramahnya yang menyokong calon DAP, Abdul Aziz yang bertanding di kerusi Batu Kitang yang kemudiannya disiarkan semula sedutannya oleh penulis blog, Raja Petra Kamaruddin di bawah tajuk: "Vote DAP so that we can screw the Malays".
MCA hari ini membidas Hew kerana memainkan isu perkauman semasa pilihan raya negeri Sarawak, dengan apa yang disifatkan sebagai politik keji.
Bagi Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, adalah malang bagi DAP untuk selalu memainkan nada seperti itu dengan mencanangkan sentimen kaum dan agama.
“Mereka hanya parti berbilang kaum atas kertas sahaja namun memainkan perkauman dalam kebanyakan ucapan mereka terutama ketika berucap kepada penonton Cina.
“Mereka telah gagal sebagai parti berbilang bangsa namun berlindung di sebalik emosi dan sifat chauvinisme.
“Sesetengah pihak terlepas pandang keburukan mereka ini apabila mahu menuntut perubahan,” kata Ti.
Mengulas lanjut, Hew berkata, sari kata untuk ucapannya dalam bahasa Cina itu yang disiarkan di blog berkenaan telah disalah terjemahkan dan mengundang kritikan ke atasnya.

Beliau menyedari bahawa video dalam blog Raja Petra menterjemahkan ucapan beliau seperti berikut: "Aziz boleh skrew puak Melayu sendiri, skrew Melayu korup sendiri, skrew pok kai puak Melayu sendiri. Ini akan jadi wayang yang terbaik yang patut kita tengok, setuju tak?
Bagaimanapun, Hew mendakwa terjemahan yang tepat ialah : "Ayuh kita hantarkan Aziz masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri demi skrew bangsa Melayunya, yakni politikus besar yang korup, screw "pokai" di PBB. Inilah babak yang paling menarik. Yang setuju, berikan tepukan".
