BERITA Malaysiakini

Tuduhan baru dedahkan kaitan SRC dengan isu 1MDB

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tuduhan terbaru yang dilemparkan oleh pihak berkuasa Singapura terhadap bekas pegawai bank swasta Yeo Jiawei mendedahkan kaitan SRC International dengan skandal isu 1MDB.

Menurut Today Online yang berpangkalan di Singapura, Yeo didakwa membantu pemindahan AS$11.95 juta (RM48 juta) daripada SRC International ke Affinity Equity International Partners, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Tan Kim Loong.

The Wall Street Journal sebelum ini melaporkan bahawa Tan adalah pemilik benefisiari daripada Tanore Finance apabila ia mula-mula ditubuhkan, entiti di British Virgin Island yang sama memindahkan AS$681 juta ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar yang berpangkalan di Amerika Syarikat juga melaporkan bahawa Tanore Finance adalah benefisiari sebahagian daripada wang AS$3.5 bilion 1MDB yang sepatutnya dibayar kepada Aabar Investments PJS tetapi dilencongkan ke sebuah syarikat di British Virgin Island yang mempunyai nama sama - Aabar Investments PJS Limited.

Wang dari Aabar Investments PJS Limited itu melalui beberapa perantara sebelum berakhir di Tanore Finance.

Siasatan di Singapura adalah penting kerana ia mendedahkan buat kali pertama kaitan antara SRC International dan mereka yang mempunyai hubungan dengan isu 1MDB.

Sebelum ini, selain daripada SRC International yang adalah bekas anak syarikat 1MDB, ia tidak pernah dikaitkan terus kepada aliran urus niaga bernilai jutaan ringgit oleh firma pelaburan negara itu yang kini menjadi siasatan antarabangsa.

Urusniaga kontroversi oleh SRC International yang kini diletakkan di bawah kementerian kewangan, sebelum ini dilihat bebas daripada 1MDB, yang antaranya adalah mengenai pemindahan RM42 juta dan RM27 juta, melalui perantara, ke akaun bank peribadi Najib.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah ‘membersihkan’ Najib daripada sebarang salah laku urus niaga berkenaan atas alasan bahawa perdana menteri tidak menyedarinya.

Today Online melaporkan pendakwa raya Singapura sebagai berkata bahawa tuduhan terbaru terhadap Yeo yang ketujuh terhadapnya, hasil daripada penyiasatan republik itu ke atas 1MDB, membuka lembaran baru.

[Baca berita penuh]