Setiap kali aktivis Hishamuddin Rais berhadapan dengan kemungkinan direman atau keluar dari kota dalam masa yang singkat, beliau akan memaklumkan kepada ‘penghuni rumahnya’ mengenai ketiadaannya.
Namun, kali ini beliau rasa terlalu berat hati untuk memberitahu mereka semua memandangkan Hishamuddin yang mesra dengan panggilan Isham mungkin ke penjara selama sembilan bulan.
Isham memelihara dua ekor anjing bernama Ezi, 7 tahun dari baka Telomian dan Jai,12 tahun dari baka Pug.
Selain memelihara anjing, Isham turut berteman dengan dua ekor kura-kura yang diberi nama Sepang dan Gate.
“Biasanya saya akan maklumkan pada mereka sama ada dalam bahasa Inggeris atau Melayu dan ketika ketiadaan saya, akan ada kawan yang akan jaga Ezi dan Jai.
“Tapi untuk kali ini saya masih belum memberitahu mereka semua mengenai keputusan mahkamah rayuan tu. Tapi sekarang dalam wawancara ini mereka dah dengar mengenai perkara ini,” kata Hisham sambil mengusap kepala Ezi.
Kata Isham, kura-kuranya berada di rumah bagaimanapun beliau tidak mengetahui di manakah mereka ‘menyorok’.
“Mereka ada di dalam rumah ini. Kadang-kadang kura-kura ini akan keluar dan kadang-kadang akan menyorok. Hari ini mereka malu untuk keluar,” katanya.
Tanggal 16 Mei ini akan menentukan sama ada Isham akan menempuhi hukuman penjara sembilan bulan setelah disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi pada 15 Januari lalu.

Atas hukuman tersebut, Isham telah mengemukakan rayuan dan 16 Mei ini Mahkamah Rayuan Putrajaya akan menentukan sama ada ia diterima atau ditolak.
Isham yang merupakan pemilik blog tukar tiub berkata, beliau telah masuk ke penjara sebanyak 15 kali termasuk Tahanan Tanpa Bicara (ISA) sebanyak dua kali.
Siti, Mumi dan Curvy mati
Isham yang merupakan pencinta haiwan berkata, pada tahun 2005 beliau memelihara tiga ekor kucing yang diberi nama Siti, Mami dan Curvy.
Nama itu diberikan kerana katanya wajah Siti 'mirip' penyanyi tersohor negara, Mami pula anak kepada Siti manakala nama Curvy diberikan kerana kucing itu ditemui di Pusat membeli belah The Curve.
Bagaimanapun dua tahun lalu, kesemua kucing miliknya telah mati.
'Pekak dan buta'
Jai pula tua, pekak dan buta.
Isham yang merupakan anak kelahiran Jelebu ini tidak pernah berkahwin dan menjadikan haiwan-haiwan ini sebagai penghuni rumahnya sejak Sembilan tahun lalu.
“Saya tidak panggil mereka sebagai binatang sebaliknya mereka adalah penghuni rumah saya.
“Ezi dan Jai akan sambut ketika saya pulang ke rumah, kadang-kadang buat suara manja kerana nak perhatian. Mereka tetap sama seperti sembilan tahun lalu, layanan mereka tetap sama kepada saya.
“Jai sudah tua, sekarang dia pekak dan sebelah matanya buta. Kalau Jai nak sambut saya atau sedang berjalan-jalan mesti akan terlanggar dinding,” kata Isham yang kini berusia 64 tahun.
Rutin Isham setiap petang adalah membawa Ezi dan Jai berjalan-jalan di Tanah Perkuburan di Jalan Syed Putra Kiri berdekatan rumahnya.
Beliau akan melepaskan Ezi dan Jai selama 30 minit dan membiarkan mereka berdua bermain-main.
Ketika waktu tidur, Jai akan tidur di ruang tamu manakala Ezi pula akan tidur di bawah katil dalam bilik.
Isham berkata, ketika memelihara anjing, kucing dan kura-kura dalam satu rumah, kesemua mereka hidup aman dan harmoni dan tidak bergaduh.
“Pepatah yang kata anjing dan kucing tu selalu gaduh tak betul, saya dah buktikan. Kesemua mereka hidup di sini dengan aman dan harmoni,” katanya sambil ketawa.
'Sempat pelihara biawak'
Isham berkata, ketika ditahan di Kem Kemunting bawah ISA selama dua tahun, beliau sempat memelihara seekor biawak yang pada ketika itu masuk ke dalam tandas penjara.
“Saya dan juga MP Batu Tian Chua ditahan di Kemunting, kami sama-sama memelihara seekor biawak kerana binatang tu masuk ke dalam tandas penjara. Tapi tak lama selepas itu biawak itu lari.
“Selain itu saya pelihara sesumpah dan juga seekor kucing. Selepas saya dibebaskan saya bawa kucing saya yang bernama Lucky itu ke Bangsar dan tak lama selepas itu dia mati,” kata Isham.
Isham, ketika ditanya sama ada terlintas untuk berkahwin dan sekaligus menjadikan manusia sebagai teman serumahnya, berkata:
“Kalau ada mana-mana wanita lepas ini dah baca berita ini, boleh terima binatang-binatang saya bolehlah kahwin dengan saya,” katanya sambil ketawa.
Isham, ketika ditanya haiwan apakah yang akan dipelihara sekiranya dipenjara berkata:
“Saya tunggu dulu keputusan Isnin ini, dan lihatlah nanti,” katanya.
