Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zunar tanya Salleh: Kartunis boleh jatuhkan PM?
Diterbitkan:  May 13, 2016 11:38 AM
Dikemaskini: Dec 6, 2016 12:14 PM

Semalam Menteri Multimedia dan Komunikasi, Salleh Keruak dalam kenyataan medianya berkata bahawa pameran saya di Geneva bertujuan memalukan perdana menteri (PM). Ini adalah kenyataan balas saya kepada Salleh.

SALLEH: Salleh berkata dia tidak menafikan kemungkinan ada usaha kolektif daripada kartunis Zunar untuk menjatuhkan PM.

ZUNAR: Kalau kartunis boleh jatuhkan PM, itu bukan kesalahan tetapi kelucuan.

SALLEH: Malaysia adalah negara demokratik yang tidak menghalang sesiapa daripada mengeluarkan pendapat, tetapi ia harus dilakukan melalui saluran yang betul.

ZUNAR: Siapa yang kamu cuba perbodohkan? Makhluk asing dari Marikh pun tak akan percaya kata-kata kamu. Kalau Malaysia begitu demokratik, kenapa lebih dari 100 individu telah disiasat, ditangkap atau dihukum di bawah Akta Hasutan semata-mata kerana mengeluarkan pendapat mereka sejak 2014?

Mengeluarkan pendapat mestilah melalui saluran yang betul? Saya sendiri telah ditangkap, diganggu, pejabat diserbu dan secara berterusan ditekan pihak berkuasa semata-mata kerana menzahir pendapat melalui cara kreatif! Apakah melukis kartun dan menerbitkan buku kartun bukan saluran yang betul?

SALLEH: Tidak salah untuk mempunyai pendapat yang berbeza atau tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kenapa melibatkan negara luar?

ZUNAR: Sebagai pemenang anugerah 2016 Cartooning for Peace, saya telah dijemput oleh Yayasan Cartooning for Peace dan Datuk Bandar Geneva untuk mempamerkan 10 karya kartun di Switzerland bermula 3 Mei lalu. Karya bersaiz besar itu dipamerkan di lokasi strategik di tasik Lac Leman sehingga awal Jun ini.

Atara pengunjung pameran itu termasuk bekas Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, kartunis terkenal dari Peranchis Jean Plantureux Plantu dan Datuk Bandar Guillaume Barazzone.

Sebagai menteri komunikasi, Salleh harus sedar bahawa kita sekarang hidup dalam dunia tak bersempadan. Semua isu telah menjadi masalah sejagat. Untuk pengetahuan, saya juga telah dijemput untuk berucap di PBB ketika di Geneva kerana bagi mereka kebebasan bersuara adalah isu global.

Dunia telah menjadi rapat. Kerana itu, media seperti The Wall Street Journal di New York boleh membuat laporan mengenai apa yang berlaku di Malaysia. Kerana itu juga perdana menteri boleh menyaman mereka dari Malaysia, cuma dia masih menunggu hari Selasa datang!

Adakah kamu telah melihat pameran saya, Salleh? Jika tidak, biar saya beritahu kamu bahawa isu yang terkandung ialah rasuah, kebebasan bersuara, konspirasi terhadap Anwar dan Majlis Keselamatan Negara. Adakah antara kartun ini tidak menceritakan kebenaran? Kalau kamu masih tak jelas mengenai kartun-kartun saya, dipersilakan datang ke pelancaran buku baru saya, WASABI (Wa Sapu Billion) hari Sabtu ini (14 Mei) dan beli satu. Sila ke capaian di sini untuk maklumat lengkap.

Tidak, kamu tidak boleh mendapatkan buku saya di kedai buku kerana kerajaan 'demokratik' kamu telah mengharamkannya.

SALLEH: Pameran Zunar adalah satu penghinaan kepada pemimpin yang dipilih rakyat.

ZUNAR: Ketika di Geneva, orang di sana telah mengetahui mengenai isu rasuah di Malaysia kerana ia telah disiarkan secara besar-besaran oleh media antarabangsa. Soalan popular ialah: "Kenapa RM2.6 billion dikatakan sebagai derma?".

Jadi sebenarnya PM dan seluruh kabinet telah memalukan diri mereka sendiri dan negara. Bukan saya. Saya ingin mengulangi kenyataan bahawa menjadi tanggungjawab seorang kartunis untuk mendedahkan korupsi dan saya akan terus melukis hingga ke titisan dakwat terakhir!

SALLEH: Disamping memberi imej buruk kepada negara, pameran Zunar juga dilihat sebagai sabotaj kepada ekonomi negara dan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

ZUNAR: Lebih dari RM42 billion wang rakyat lesap dalam skandal 1MDB, kamu masih menyalahkan kartunis kerana masalah ekonomi. Kamu adalah menteri yang sangat lucu, Salleh!

 


 

ZUNAR atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque adalah kartunis politik di Malaysia. Karya-karya beliau memfokus kepada isu korupsi, salah laku dan "kezaliman kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran BN".

Lihat Komen
ADS