Jet pejuang Indonesia kawal Laut Sulawesi
Empat pesawat pejuang F-16 Indonesia mengawal perairan sempadan di Laut Sulawesi berikutan lawatan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono ke kawasan yang kaya dengan minyak dan gas itu, yang menjadi rebutan antara republik itu dengan Malaysia.
"Presiden akan meninjau kawasan sempadan, jadi kami bersiap sedia menjaga keselamatannya," kata panglima tentera republik itu, Jeneral Endriartono Sutarto kepada pihak media ketika ditanya mengenai kehadiran jet pejuang itu di sana.
Yudhoyono akan melawat pulau Sebatik, pekan Tarakan serta Nunukan dalam lawatannya ke Kalimantan Timur, kata jurucakap presiden, Andi Mallarangeng kepada AFP.
Sebatik terletak berhampiran sempadan Kalimantan Timur dan Sabah. Pulau tersebut terletak di kawasan barat berhampiran Laut Sulawesi.
Tuntutan bertindih
Ketegangan meningkat di kawasan tersebut di antara Indonesia dan Malaysia berikutan tuntutan bertindih kedua-dua negara di Laut Sulawesi.
"Ketika di Sebatik, president Yudhoyono akan mendapatkan maklumat mengenai keadaan terkini di kawasan sempadan," kata Mallarangeng sambil menambah, Yudhoyono juga akan meninjau kawasan tersebut hari ini.
Jakarta telah membantah langkah Petronas menandatangani perjanjian konsesi carigali minyak dengan syarikat Shell di kawasan tersebut pada 16 Februari lalu, kerana mendakwanya ia menceroboh wilayah republik itu.
Sejak itu, Indonesia telah menghantar tiga kapal perangnya untuk mengawal kawasan perairan yang dipertikaikan itu.
"Empat lagi kapal perang itu dijangka tiba di perairan itu antara hari Ahad dan Isnin," katanya jurucakap tentera laut Indonesia, kata Kolonel Marsetio, seperti yang dilaporkan oleh agensi akhbar Antara.
Rondaan bersama
Kapal perang kedua-dua negara hadir di kawasan terbabit tetapi keadaan reda selepas mereka bersetuju untuk mengadakan rondaan bersama di perairan sempadan itu.
Menteri Luar Indonesia, Hasan Wirayuda berkata Malaysia sudah bersedia untuk berbincang mengenai tuntutan bertindih itu, tetapi bimbang ia "boleh menjejaskan hubungan, bukan sahaja antara kerajaan, tetapi juga antara rakyat kedua negara."
"Semua pihak perlu berhati-hati," katanya.
Sebelum ini, Indonesia dan Malaysia bertelingkah berhubung pemilikan dua buah pulau kecil di timur Sebatik.
Tetapi pada bulan Disember 2002, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan dua pulau tersebut Ligitan dan Sipadan berhampiran pulau Borneo adalah milik Malaysia.
Yudhoyono juga dijangka meninjau operasi carigali minyak di Tarakan dan pusat-pusat sementara pekerja tanpa izin Indonesia yang pulang dari Malaysia selepas tempoh pengampunan berakhir minggu lalu.
Beribu-ribu pekerja tanpa izin republik itu kini berlindung di Nunukan, sebahagian besarnya menunggu untuk mendapatkan pasport dan visa untuk kembali bekerja di Malaysia.
- AFP