Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad Bashah berdoa kerjasama PAS-Umno
Diterbitkan:  May 15, 2016 12:12 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ‘berdoa’ supaya ada kerjasama di antara PAS dan Umno dan yakin kedua-dua parti itu akan menuju ke arah itu.

“Saya sebagai orang lama, saya selalu berdoa ada kerjasama antara Umno dan PAS. Dalam senario politik hari ini, saya yakin Umno dan PAS akan menuju ke arah itu,” katanya.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika diminta melihat skop kerjasama antara PAS dan Umno serta usaha dalam memperluaskan bentuk kerjasama sebelum Pilihan Raya Umum (PRU14).

Kata Ahmad Bashah, di Kedah hubungan Umno dengan PAS jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya rasa dalam kepimpinan PAS di Kedah pun sudah ada perasaan itu. Mereka tahu dan nampak apa yang berlaku kepada (Presiden) PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan kenyataan yang dibuat oleh presiden PAS itu.

“Mungkin suatu hari nanti untuk berhadapan dengan keadaan politik dan dalam masyarakat hari ini, sampai masanya untuk buat sesuatu. Saya yakin ia akan berlaku suatu hari nanti,” kata Ahmad Bashah dalam wawancaranya bersama Utusan Malaysia.

Ahmad Bashah mengakui masih belum ada lagi sebarang kerjasama sehingga kini antara kedua parti itu bagaimanapun dari segi persahabatan mereka ‘dekat’.

“Kita tidak boleh buat kenyataan yang boleh keruhkan keadaan. Itu pun harapan kepimpinan kedua-dua parti,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Kata Ahmad Bashah, dalam pembangkang, PAS dilihat kini berseorangan namun Umno tidak mahu parti Islam itu mati.

“PAS masih ada sokongan yang kuat di Kedah kerana penyokong tegar parti itu masih ada di negeri ini.

“Pengundi sayang kepada PAS, sebab itu apabila PAS lari daripada DAP, mereka lebih suka. Majoritinya orang Melayulah,” katanya.

Mesra dengan PAS di Kedah

Ahmad Bashah ketika ditanya reaksi pemimpin dan PAS ketika beliau mula-mula mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri dari Datuk Mukhriz Mahthir berkata:

“ADUN-ADUN PAS boleh dikatakan semua semuanya sahabat lama, mereka kenal Mukhriz baru sahaja. Jika hendak di banding kemesraan antara bekas Menteri Besar dan saya dengan ADUN-ADUN PAS mereka lebih menghormati saya sebagai kawan lama. Mudahlah hendak buat kerja sebagai Menteri Besar.

“Di Kedah ini, walaupun berbeza parti politik, kita pergi kenduri-kendara mereka. Saya pun jemput mereka datang ke kenduri kahwin anak saya. Mereka datang.

“Jadi, kita cuma bergaduh dalam politik tetapi dari segi persahabatan, kita menghormati semua orang. Itu lebih mudah,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS