Msia-Indonesia setuju bincang isu konsesi minyak di Laut Sulawesi

   

Terjemahan Ketika pemimpin tertinggi Malaysia dan Indonesia berusaha supaya ketegangan berhubung tuntutan bertindih di Laut Sulawesi diselesaikan melalui meja perundingan, demonstrasi anti-Malaysia berlaku di beberapa bandar utama di republik itu termasuk di Jakarta dan Makassar ti Pulau Sulawesi.

Di Makassar hari ini, beribu-ribu orang berkumpul di luar bangunan parlimen di wilayah tersebut untuk menggesa kerajaan Indonesia supaya bertindak tegas terhadap Malaysia.

AFP melaporkan, di Jakarta pula, kira-kira 200 aktivis anggota Forum Tindakan Demokratik turut berkumpul di pusat bandaraya itu dan di luar bangunan Kedutaan Malaysia, sambil mengebarkan sepanduk yang berbunyi "Ganyang Malaysia".

Indonesia membantah langkah Malaysia melalui syarikat minyaknya Petronas menganugerahkan konsesi minyak dan gas di dua blok kawasan di Laut Sulawesi kepada syarikat minyak Shell.

Jakarta mendakwa dua blok berkenaan yang terletak berhampiran Pulau Sipadan dan Ligitan kepunyaan Malaysia, adalah miliknya.

Sebelum ini, Indonesia dan Malaysia dan Indonesia pernah bertelingkah berhubung pemilikan dua pulau kecil di timur Sebalik.

Bagaimanapun, pada Disember 2002, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa kedua-dua pulau tersebut Ligitan dan Sipadan adalah milik Malaysia.

Melalui meja perundingan

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Menteri Luar Malaysia dan Indonesia akan berbincang bagi menyelesaikan isu konsesi minyak di Laut Sulawesi bagi mengelak insiden yang tidak diingini.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam satu perbualan telefonnya dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang menghubungi beliau hari ini.

Bernama melaporkan, dalam perbincangan tersebut, Abdullah berkata mereka bersetuju supaya Menteri Luar Malaysia dan Indonesia mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan kontroversi tersebut.

"Bagi mengelakkan apa-apa insiden yang tidak diingini, yang kerananya boleh menegangkan hubungan antara Indonesia dan Malaysia, maka kami berdua tadi bersetuju supaya perkara ini dibincang pada peringkat diplomatik di antara Menteri Luar Malaysia (Datuk Seri Syed Hamid Albar) dan Menteri Luar Indonesia (Hassan Wirayuda).

"Bagi mengelakkan apa-apa insiden yang tidak diingini, yang kerananya boleh menegangkan hubungan antara Indonesia dan Malaysia, maka kami berdua tadi bersetuju supaya perkara ini dibincang pada peringkat diplomatik di antara Menteri Luar Malaysia (Datuk Seri Syed Hamid Albar) dan Menteri Luar Indonesia (Hassan Wirayuda).

"Mudah-mudahan dengan cara ini, apa juga masalah yang dihadapi Insya-Allah akan dapat kita selesaikan dengan baik," kata Abdullah ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.

Bantahan

Syed Hamid dilaporkan sebagai berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Hassan Wirayuda di Jakarta minggu ini.

Dalam pada itu, Malaysia telah mengemukakan bantahan kepada Indonesia berhubung insiden pencerobohan oleh sebuah kapal perang republik itu ke perairan negara iaitu berhampiran Pulau Sebatik di Laut Sulawesi.

Dalam ucapannya, Abdullah berkata hubungan Malaysia dan Indonesia adalah baik pada waktu ini.

"Walaupun kita ada hal-hal berkaitan dengan PATI (pendatang asing tanpa izin), tetapi ini tidak menjejaskan hubungan itu," katanya.

Perdana Menteri berkata Kuala Lumpur menganggap perbincangan diplomatik merupakan pendekatan yang baik untuk menyelesaikan apa-apa masalah.

"Ia merupakan pendekatan yang melambangkan satu hubungan kerjasama antara dua negara yang berjiran," katanya sambil menegaskan bahawa ia juga akan dapat memelihara hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.

"Semangat ini ialah semangat yang kita pegang bersama, dan Insyallah kita akan dapat mencari penyelesaiannya," kata Abdullah.

Saluran diplomasi

Sementara itu, akhbar-akhbar Indonesia melaporkan kedua-dua negara sepakat untuk meredakan ketegangan yang terjadi akibat tuntutan bertindih kawasan berpotensi minyak di Laut Sulawesi, melalui saluran diplomasi.

Mereka memetik Panglima Tentera Nasional Indonesia Jeneral Endriartono Soetarto sebagai berkata beliau telah berbincang dengan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin semalam, danmereka bersetuju untuk meredakan ketegangan itu.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Jakarta.

Akhbar "Republika" memetik Endriartono sebagai berkata angkatan tentera kedua-dua negara sepakat bahawa masalah itu sebaik-baiknya diselesaikan secara diplomatik.

Mengenai pengerahan tentera oleh Indonesia mahupun oleh Malaysia ke kawasan dekat perairan Pulau Sipadan dan Ligitan milik Malaysia itu, beliau berkata ia untuk menjaga kedaulatan negara masing-masing.

Endriartono berkata kapal dan empat pesawat pejuang F-16 yang dihantar ke Kalimantan Timur semalam merupakan persiapan bagi mengawal keselamatan Presiden Susilo yang melawat Nunukan di wilayah itu hari ini.

Susilo dijadual mengunjungi Nunukan yang bersempadan dengan Sabah itu untuk meninjau dan melihat sendiri urusan penghantaran semula pekerja Indonesia ke Malaysia.

Sementara itu, berita lain akhbar itu melaporkan, Setiausaha Agung Majlis Ulama Indonesia Din Syamsuddin juga mahu kedua-dua negara mencari jalan penyelesaian diplomatik dengan semangat keislaman, kejiranan, serumpun dan harmonis, bagi mengelak kerugian negara dan nama baik Islam, serta eksploitasi oleh pihak ketiga.

Pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Tifatul Sembiring juga meminta kedua-dua negara mengelak penggunaan kekuatan senjata kerana masalah itu boleh diselesaikan di meja rundingan yang lebih murah berbanding kos tindakan ketenteraan.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In