PKR memandang serius masalah dihadapi pekebun kecil dan penoreh getah terutama di Kedah akibat kejatuhan mendadak harga komoditi itu, sambil menggesa kerajaan menangani masalah itu segera.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan perlu menetapkan harga lantai bagi getah segerap kepada RM4.00 sekilogram berbanding RM2.00 sekilogram pada masa ini.
"Pada 29 Mei 2015, harga getah segerap di Kedah berada pada tahap harga RM 2.15 sekilogram. Manakala pada 16 Mei 2016 harganya RM 2.04 sekilogram.
"Kadar penurunan harga getah segerap adalah sebanyak 5.1 peratus dalam tempoh setahun," katanya pada kenyataan media hari ini.
Katanya, berdasarkan kepada harga getah semasa, penoreh memperoleh pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari dengan adar torehan sekitar 10-15 kilogram dan jika kebun itu dipajak maka pendapatannya terbahagi dua.
"Apakah pendapatan sekitar RM500 hingga RM900 sebulan sebegini mampu untuk menyara keluarga, pendidikan dan mendapat makanan yang berkualiti ditambah pula dengan kadar inflasi yang terus meningkat serta akibat fenomena El-Nino yang mengurangkan hasil getah?
"Kemelut kemerosotan pendapatan penoreh ini mesti ditangani segera oleh Kerajaan.
"Langkah perlu diambil bagi menstabilkan harga getah, lebih-lebih lagi getah skrap yang menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penoreh," katanya.
April lalu, PKR mendesak kerajaan mewujudkan mekanisme bayaran tetap kepada penoreh getah sebanyak RM1200 sebulan seperti dicadangkan oleh Kesatuan Kebangsaan Ladang (NUPW).
Naib presidennya Nurul Izzah Anwar berkata, mekanisme ini perlu diwujudkan bagi membantu penoreh getah mendapatkan pendapatan minimum walaupun dalam keadaan pengeluaran getah yang merudum.
