Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pemberontak' DAP tunjuk ikrar 2008 bagi had jawatan KM

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah dari DAP, Teh Yee Cheu menggiatkan kempennya untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada dua penggal sahaja.

Teh mendakwa, 23 calon-calon DAP sebelum pilihan raya umum 2008 telah bersetuju untuk memenuhi ikrar pilihan raya termasuk memperkenalkan had tempoh masa jawatan nombor satu dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

Ikrar tersebut sepatutnya dipenuhi ketika DAP merampas kerajaan negeri pada 2008, katanya, sambil menunjukkan ikrar yang ditulis dalam bahasa Cina kepada wartawan.

Antara lain, ikrar tersebut turut mencadangkan had tiga penggal untuk jawatan ketua menteri yang bertujuan membentuk pemimpin yang baik dan progresif.

DAP telah memenuhi banyak ikrar yang dibuat termasuk pengisytiharan aset, pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat dan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Jadi, saya juga ingin mengingatkan mereka untuk memenuhi ikrar dan salah satu daripadanya ialah had tempoh masa untuk jawatan ketua menteri," katanya di bangunan dewan undangan negeri di George Town, hari ini.

Semalam, Teh dicabar oleh rakan seperjuangannya dari DAP supaya bertanding atas tiket parti Gerakan dalam pilihan raya umum akan datang kerana geram dan marah dengan tindakan beliau menghadiri perbincangan meja bulat untuk mengehadkan jawatan ketua menteri yang dianjurkan oleh Gerakan pada Sabtu yang lalu.

Teh telah memohon untuk usul tersebut diperdebatkan pada sidang dewan itu kali ini tetapi ditolak oleh Speaker Law Choo Kiang atas alasan teknikal.

Teh dilihat begitu ghairah dalam isu tersebut sejak beberapa tahun dan tetap menegaskan tidak mempunyai sebarang dendam peribadi terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Teh menambah, ikrar tersebut telah dibacakan di Padang Kota Lama pada 6 Mac 2008, dua hari sebelum pilihan raya umum 2008.

“Saya tidak berkesempatan menghadiri acara itu di Padang Kota Lama, tetapi menerima salinan ikrar itu yang ditulis dalam bahasa Cina; versi ini sahaja saya ada,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Penganjur DAP Pulau Pinang, Wong Hon Wai menafikan calon-calon DAP melafazkan ikrar sedemikian sebelum pilihan raya 2008.

“Ikrar yang ditunjukkan oleh Teh itu hanya dalam bahasa Cina, mungkin draf dan bukan versi akhir,” kata Wong.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS