Kerajaan Malaysia tidak seharusnya mencontohi Korea Utara dengan menyekat perjalanan rakyat yang dirasakan menentangnya, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed awal hari ini berkata Jabatan Imigresen boleh menyekat rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara jika mereka memburukkan kerajaan, kerana perjalanan ke luar negara adalah satu keistimewaan dan bukan hak.
Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah dilarang berlepas ke Korea Selatan Ahad lalu untuk menerima hadiah hak asasi manusia bagi pihak gabungan pemantau pilihan raya itu.
"Ada yang sudah pasti akan memanggil tindakan kerajaan semakin autoritarian.
"Dan kemarahan ini boleh difahami kerana larangan perjalanan itu hanya akan mewujudkan kebencian di kalangan rakyat terhadap kerajaan, selain menjadikan Malaysia kelihatan buruk di peringkat antarabangsa," kata ketua eksekutif Ideas Wan Saiful Wan Jan (gambar).
"Dalam keadaan politik semasa, kita perlu mencari cara untuk menjadikan negara kita lebih demokratik dan bebas, dan tidak bergerak dengan cara yang bertentangan.
"Korea Utara adalah salah satu daripada negara-negara yang mempunyai kawalan perjalanan yang ketat ke atas semua rakyat, terutamanya kepada orang-orang yang dianggap pembangkang. Kita tidak perlu bergerak ke arah itu," katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful juga menegaskan kebebasan bergerak adalah hak asasi manusia sejagat, sesuai dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah diterima pakai oleh kerajaan Malaysia.
