Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam hari ini mengkritik golongan pemimpin yang mendakwa memperjuangkan bangsa tetapi menyerang globalisasi sehingga menyempitkan masyarakat daripada kebaikan sejagat.
Dengan menyifatkan mereka sebagai "nasionalis haprak," Musa bimbang golongan ini menguasai Umno dan pemerintahan negara ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucap utama 'Sebuah peradaban dunia pada abad ke-21' dalam Kongres Peradaban Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra. Kongres itu selama tiga hari anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bermula pagi tadi. Dua belas tokoh pemikir tempatan akan membentangkan kertas kerja.
Musa bagaimanapun menafikan istilah "nasionalis haprak" itu ditujukan kepada pemimpin Umno sekarang. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, haprak maksudnya lebih buruk daripada hampas, katanya.
"Saya adalah ahli Umno, bagi saya Umno adalah parti nasionalis tulen."
Beliau menyarankan ahli-ahli Umno bersedia menerima idea-idea baru dan meningkatkan sikap bertolak-ansur terhadap perbezaan idea.
Ketika menutup ucap utama itu, Musa menggesa peserta kongres itu memikirkan jalan ke arah pembinaan sebuah peradaban agar "tidak dikongkong oleh nasionalisme haprak yang akan meninggalkan kita daripada peradaban dan tamadun dunia serba mencabar ini."
Sebelum itu, beliau menyifatkan nasionalis haprak cuba memisahkan diri daripada pensejagatan (globalisasi) dan akan menutup masyarakat negara ini daripada perkembangan peradaban dunia.
Nasionalis haprak juga tidak berasa yakin pada pensejagatan dan berasa takut menerimanya. Mereka mengawal politik tempatan dan tidak akan membiarkan kepentingan ekonomi sejagat berkembang, kata bekas Timbalan Presiden Umno itu lagi.
'Bukan kritikan tetapi tidak setuju'
Dalam ucapan itu, Musa berkata nasionalis haprak dikategorikan dalam golongan fundamentalisme dan mereka akan bertentangan dengan kosmopolitanisme - golongan yang "mengalu-alukan pensejagatan, dianggap progresif dan memandang ke depan."
Tambahnya, fundamentalisme boleh wujud dalam pelbagai bentuk, termasuk nasionalisme, agama, keperibumian dan suku kaum.
Bercakap kepada media selepas itu, Musa menjelaskan seseorang nasionalis sebenarnya memberi keutamaan kepada negara masing-masing.
"PAS juga makin lama makin menunjukkan dirinya sebagai nasionalis. Saya percaya semua parti politik, keturunan apa pun, tujuannya ialah nasionalisme," katanya.
Dalam sidang akhbar yang sama, Musa yang juga Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menafikan Perdana Menteri mengkritik badan itu apabila mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima rawatan pilihannya di Jerman.
Dr Mahathir Mohamad bulan lalu dilaporkan berkata "kalau macam itu, serahkan semuanya (pemerintahan) kepada Suhakam."
"Kenyataan (Dr Mahathir) itu bukan kritikan tetapi tidak setuju," katanya. "Tidak bersetuju (sependapat) perlu wujud dalam sesebuah negara yang dinamis dan demokratik."
Beliau juga memaklumkan kekosongan jawatan dalam suruhanjaya itu hanya boleh diisi melalui pelantikan Yang di-Pertuan Agong dengan saranan Perdana Menteri.
Musa diminta mengulas kekosongan itu berikutan kematian salah seorang suruhanjaya itu, Datuk K Pathmanaban minggu lalu. Pathmanaban, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, menganggotai jawatankuasa khas reformasi undang-undang Suhakam.
