Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam: Pembangkang lebih kuat dengan adanya Dr Mahathir

Bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berharap Tun Dr Mahathir Mohamad akan kekal bersama blok pembangkang bagi menunaikan hasrat mereka untuk menawan Putrajaya.

Husam berkata ini kerana pembangkang akan menjadi lebih kuat dengan adanya bekas perdana menteri itu.

Husam berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin veteran Umno itu bahawa pakatan pembangkang akan sentiasa kalah jika tidak bersatu.

"Saya berharap Tun Mahathir akan kekal bersama pembangkang dan dia akan jadi jurulatih supaya pembangkang boleh jadi kerajaan.

"Saya menganggap selagi Mahathir duduk dengan kita (bersama pembangkang), pembangkang akan jadi lebih kuat," katanya kepada pemberita.

Husam berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Dialog bersama Husam di Dewan Himpunan Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH) malam tadi.

Mahathir dipetik BH Online berkata pembangkang tidak boleh menang jika mereka berpecah-belah dan tindakan mereka berpecah sesama sendiri menyebabkan mereka kalah di Sarawak.

"Jadi, pembangkang akan selamanya kalah, BN pula akan menang," beliau dipetik sebagai berkata oleh BH Online.

Media terbabit melaporkan perkara itu selepas Mahathir mengambil kira kegagalan pembangkang bersatu yang ketara ketika pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

Dalam pilihan raya itu, BN memang besar menyebabkan DAP hilang lima kerusi dan PKR pula kekal tiga.

PAS dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) pulang tangan kosong.

Terdahulu, dialog tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila hadirin kelihatan bersesak di dalam dewan terbabit.

Dialog selama lebih tiga jam itu berlangsung agak hangat apabila rata-rata mereka tidak putus-putus bertanyakan kepada Husam bilalah beliau akan menyertai parti AMANAH atau tidak, selepas dipecat PAS.

Lihat Komen
ADS