Akibat menjual gambar kartun lucah di laman webnya, seorang pekerja grafik di sebuah syarikat swasta didenda RM20,000 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.
Hakim Harith Sham Mohamed Yasin menjatuhkan hukuman itu ke atas Yunus Hasyim Yaakub, 29, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Yunus Hasyim didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet di alamat http://www.gazelleone.net secara sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Hairul Anuar Mat Nor.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jabatan Pengawasan Rangkaian, SKMM, Aras 6, Menara SKMM 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, Sepang pada 11.07 pagi 13 Ogos 2015.
Pendakwaan mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu ketika rayuan, lelaki itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu.
Timbalan Pendakwa Raya SKMM Mohd Sophian Zakaria memohon hukuman berat dan setimpal bagi mencerminkan keseriusan kes itu serta memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat umum.
"Kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius. Kami mengambil berat kesalahan melibatkan internet yang sangat berleluasa.
"OKS menjalankan perniagaan gambar lucah yang bukan sahaja merupakan satu kesalahan dari sisi agama tetapi juga dari segi moral dan undang-undang," katanya.
Berdasarkan fakta kes, Yunus Hasyim menjalankan penjualan kartun lucah yang dihasilkan sendiri olehnya melalui laman web dengan bayaran keahlian RM30.
Pelanggan perlu membeli kad pembayaran dalam talian iaitu MOLPoint atau Pay Pal di kedai serbaneka dan menghantar no pin dan no siri kad kepada Yunus Hasyim.
Yunus Hasyim kemudian akan menghantar kata laluan melalui e-mel kepada pelanggan untuk melayari web itu.
- Bernama
