Usaha calonkan pemimpin pro-ulama terajui dewan muslimat PAS

Arfaeza A Aziz        

Terdapat tanda-tanda yang pihak tertentu dalam PAS sedang berusaha untuk mencalonkan pemimpin yang 'pro-ulama' untuk bertanding jawatan ketua Dewan Muslimat dalam muktamar parti itu Jun ini.

Seorang pemimpin akar umbi Muslimat PAS memberitahu malaysiakini, individu-individu tertentu dalam barisan kepimpinan PAS kurang senang dengan kepimpinan Muslimat sekarang yang dilihat "terlalu terbuka dan lantang".

Oleh itu, katanya, ada pihak berkempen untuk mendapat sokongan untuk pemimpin muslimat tertentu, di samping timbulnya desas-desus bahawa ketua Muslimat, Ustazah Kalthom Othman (foto), mungkin tidak mempertahankan jawatannya.

Ketua Muslimat itu yang lebih mesra dengan panggilan Mak Som, dikatakan telah menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut atas sebab-sebab kesihatan dan mahu memberi peluang kepada pemimpin muslimat yang lebih muda, lantang dan dinamik.

Beliau juga memberitahu, Kalthom telahpun memaklumkan kepada'kawan-kawan karibnya' bahawa beliau mengharapkan timbalannya, Dr Lo' Lo' Ghazali dipilih menggantikan tempatnya.

"Jika Dr Lo Lo dicalonkan dan beliau bersetuju bertanding, Mak Som akan menyokong beliau sepenuhnya. Selepas bekerja rapat sejak beberapa tahun yang lalu, Mak Som merasakan Dr Lo' Lo' sudah bersedia untuk mengambil alih kepimpinan (muslimat)," tambahnya.

Pertandingan hebat

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Kalthom, seorang guru agama, enggan mengesahkan perkara itu, sambil berkata beliau belum lagi membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya tak boleh komen. Saya belum buat keputusan. Tengoklah bagaimana nanti," katanya.

Ditanya sama ada benar desas-desus bahawa beliau akan memberi peluang kepada pemimpin muda memimpin Dewan Muslimat kali ini, Kalthom berkata, beliau menyerahkan segala-galanya kepada para perwakilan untuk membuat pilihan.

Jika Kalthom tidak bertanding, para pemerhati politik meramalkan akan berlaku pertandingan menarik kerana antara mereka yang dikatakan berminat untuk jawatan tersebut ialah Ketua Muslimat PAS Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan.

"Beliau mendapat sokongan kuat golongan ulama. Beliau rapat dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor (Senator) Hassan Shukri yang kini menjadi timbalan presiden. Beliau masih mendapatkan nasihat Hassan walaupun Dr Hassan Ali kini menjadi pesuruhjaya," kata seorang daripada mereka.

Seorang aktivis PAS dari Petaling Jaya pula berkata wujud dua kumpulan ulama dan profesional dalam Muslimat PAS selepas berlakunya pertanding antara bekas ketua Muslimat Fatimah @ Zainab Ibrahm dengan penyandang jawatan tersebut ketika itu, Jamilah Ibrahim yang popular di kalangan ahli golongan profesional.

Menurutnya, golongan pro-ulama dalam muslimat ialah ahli-ahli lama yang sering tidak senang dengan sikap ahli-ahli baru yang mempunyai latarbelakang profesional.

"Fatimah memanglah pro-ulama...lagi pun suaminya adalah seorang ulama (Harun Taib). Bukan rahsia lagi yang Wan Hasrina memang menyokong Fatimah dalam dua pemilihan parti yang lalu," katanya.

Menurutnya lagi, ketegangan antara dua kumpulan tersebut telah mencapai tahap yang serius sehinggakan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa campurtangan dengan meminta Dr Hassan menjadi orang tengah.

"Saya tidak rasa usaha itu berjaya. Malah, peranan Dr Hassan sebagai orang tengahlah yang menjadi punca Wan Hasrina menolak kepimpinannya sebagai pesuruhjaya PAS Selangor. Nampaknya, Wan Hasrina beranggapan Dr Hassan merendah-rendahkan kepimpinan ulama," tambahnya.

Tolak kepimpinan

Seorang lagi pemimpin akar umbi muslimat percaya pemilihan kali ini bakal menyaksikan pertandingan hebat bagi jawatan ketua muslimat kerana Wan Hasrina memang bercita-cita memimpin dewan tersebut, apabila beliau berjaya menganjurkan satu konvensyen muslimat PAS Selangor dua minggu lalu di ibu pejabat PAS di Taman Melewar, Gombak.

"Konvensyen itu bertujuan untuk memperlihatkan sokongan kepadanya. Latarbelakangnya yang berasal dari Kelantan menjadi daya penarik kerana ramai ahli muslimat adalah orang Kelantan yang tinggal di Selangor," katanya.

Bagaimanapun, katanya, penganjuran konvensyen tersebut mungkin juga ada kesan negatifnya kerana Dr Hassan selalu Pesuruhjaya PAS Selangor, tidak menghadirinya.

"Beliau dikatakan sengaja tidak menjemput Dr Hassan. Sebaliknya, konvensyen tersebut dirasmikan oleh Senator Hassan (Shukri). Jelas beliau tidak menghormati (Dr Hassan). Beliau juga menghadapi masalah untuk menerima pandangan dari ahli-ahli baru, walaupun mereka bagus seperti Dr Siti Mariah (Mahmud)," katanya lagi.

Seorang lagi pemimpin muslimat berpendapat, agak sukar untuk Wan Hasrina merebut jawatan tersebut kerana ramai yang tidak senang dengan sikapnya yang tidak menghormati Dr Hassan.

"Dr Hassan memanggil satu mesyuarat hubung minggu lalu dan jelas sekali sikap Wan Hasrina membuat beliau (Dr Hassan) dalam keadaan yang sukar. Beliau terpaksa menjelaskan kepada kami mengapa kurang penyelerasan di antara kita dengan pemimpin peringkat negeri.

"Kami terperanjat apabila mengetahui yang pemimpin kami (Wan Hasrina) tidak pernah mengemukakan laporan aktiviti muslimat sehinggalah baru-baru ini!

"Kami tahu beliau (Wan Hasrina) tidak bersetuju dengan perlantikan Dr Hassan sebagai pesuruhjaya negeri. Tetapi kami kecewa kerana beliau (Wan Hasrina) membiarkan perasaan peribadinya mengganggu tugas dan tanggungjawabnya sebagai ketua kami," katanya.

Bagaimanapun, semua dakwaan ini tidak dapat disahkan kerana ketua perhubungan PAS Selangor enggan mengulas mengenainya dengan alasan ianya adalah isu dalaman parti.

Sementara itu, seorang ahli lama parti itu menggesa Dr Lo' Lo' supaya menerima pencalonan untuk bertanding ketua muslimat jika Kalthom menarik diri, demi kebaikan dan masa depan dewan tersebut.

"Kami tidak lagi mahu mempunyai pemimpin yang 'mengikut jejak langkah' pemimpin lelaki. Kepimpinan Kalthom memang positif kerana beliau berfikiran terbuka, sedia menerima idea baru dan tidak mementingkan soal senioriti. Saya bimbang pemimpin seperti Wan Hasrina akan merosakkan apa yang ada sekarang," katanya.

Fitnah

Bagaimanapun, Wan Hasrina (foto) ketika dihubungi malaysiakini , berkata beliau tidak mempunyai niat untuk bertanding jawatan ketua muslimat Pas pusat.

"Secara peribadi, saya tidak mempunyai niat untuk bertanding (jawatan tersebut). Tidak seperti parti-parti politik lain, kami di dalam PAS tidak mengejar jawatan tinggi parti kerana ianya datang bersama tanggungjawab yang amat berat sekali," kata beliau yang mengedalikan Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika).

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sepenuhnya kemungkinan menimbangnya jika mendapat sokongan dan pencalonan yang menggalakkan.

Wan Hasrina juga menafikan dakwaan, beliau tidak menyokong kepimpinan Dr Hassan dengan menyatakan bahawa 'percanggahan pendapat' antara mereka berdua, telah diperbesar-besarkan.

Katanya, mungkin wujud perbezaan pandangan antara beliau dan Dr Hassan tetapi menegaskan "kami bukannya bermusuh".

Wan Hasrina juga menyifatkan tuduhan bahawa beliau sengaja memulaukan Dr Hassan daripada kegiatan Muslimat negeri sebagai satu "fitnah".

Beliau juga menyangkal dakwaan yang beliau pro-ulama, tetapi menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan parti yang dipilih oleh para perwakilan.

Sambil menegaskan beliau bukan dari kalangan yang berpendidikan agama, Wan Hasrina berkata beliau akan terus menyokong mereka selagi mereka berkongsi matlamat yang sama untuk berjuang demi kebaikan Islam dan umatnya.

Wan Hasrina juga menafikan dakwaan yang beliau tidak selesa dengan kehadiran ahli-ahli baru yang diberi jawatan tinggi parti, dengan berkata, selagi mereka memahami tradisi dan amalan parti, beliau tiada masalah dengan mereka.

Menurutnya, ahli-ahli baru tidak seharus terlalu mengejar jawatan tinggi dalam parti, kerana mereka perlu melalui proses biasa sebelum kebolehan mereka diiktiraf.

"Saya tidak menujukan (kenyataan ini) kepada sesiapa pun. Ia hanya satu nasihat," tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin akar umbi percaya, sebarang krisis dalam dewan muslimat boleh dielakkan jika pemimpin lelaki tidak campurtangan dalam urusan dewan tersebut sepertimana yang berlaku pada tahun 2001.

Beliau mendakwa, wujud usaha oleh pihak tertentu di kalangan kaum lelaki bagi memastikan Jamilah tidak menang kerana beliau sering berdebat dengan pemimpin tertentu sewaktu mesyuarat ahli jawatankuasa pusat.

"Beliau (Jamilah) tidak mahu menurut kehendak pemimpin lelaki dan sangat lantang. Walaupun dikritik hebat, beliau mempertahankan pendiriannya dan ini menyebabkan beberapa pemimpin lama berusaha untuk memastikan beliau tewas. Jamilah tewas kepada Fatimah hanya dengan 10 undi sahaja," tegasnya.

Beliau yakin, tanpa campurtangan golongan lelaki, ahli muslimat akan membuat pilihan secara bijaksana dan matang dalam memilih pemimpin mereka.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In