Paling Popular
Terkini

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau berada dalam keadaan terpinga-pinga berhubung tuduhan "wang dan wanita sebagai habuan" ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

"Saya tidak tahu, terpinga-pinga dalam hal ini. Saya perlu mengesahkan kesahihan mesej tersebut," katanya sambil mengakui tidak begitu faham mengenai aspek teknikal Whatsapp.

"Jika ia benar, kami (PKR) perlu mengadakan perbincangan dalaman mengenainya," kata beliau yang juga ahli parlimen Ampang kepada Malaysiakini.

Perbualan Whatsapp yang bocor itu telah didedahkan oleh portal berita The Malaysian Mirror.

Portal berkenaan turut menerbitkan transkrip perbualan Whatsapp yang didakwanya itu, dengan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli turut menyatakan gelaran "Kak Zu" - yang dipercayai merujuk kepada Zuraida.

"Sebab itu saya perlu mengesahkan. Selalunya semua panggil saya Kak Zu," katanya lagi.

Semalam, satu dakwaan mengejutkan timbul mengenai kerajaan negeri Selangor, yang mendakwa selain wang, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri.

Ini disebut dalam perbualan Whatsapp yang bocor, apabila Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli didakwa berkata beliau menerima aduan mengenai perkara itu.

"Saya tidak mahu komen atau menafikan perkara itu," kata ahli Parlimen Pandan itu kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai permintaan tersebut.

Bagaimanapun, Rafizi mengakui wujud unsur-unsur tidak baik dalam PKR yang mempunyai potensi untuk memusnahkan parti tetapi enggan mengulas lanjut.

Ditanya jika beliau boleh mengingati sebarang nasihat berkaitan daripada Rafizi, Zuraida berkata: "Saya tidak tahu. Kami selalu bincang banyak perkara. Saya tidak ingat (nasihat spesifik),".

Lihat Komen
ADS