Paling Popular
Terkini

Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar yang dijadual berlangsung pada 18 Jun depan bakal menyaksikan sejumlah 42,836 pengundi berdaftar di kawasan terbabit memilih calon yang terbaik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penyandang kerusi itu, Datuk Noriah Kasnon.

Tempoh Berbaki 15 hari sebelum gelanggang kempen dibuka selepas penamaan calon pada 5 Jun ini, Malaysiakini membuat tinjauan di parlimen Sungai Besar mengenai calon sebagaimana yang diinginkan oleh pengundi.

Dalam tinjaun rambang ke dua kawasan DUN parlimen berkenaan mendapati rata-rata pengundi mahukan pemimpin yang dekat dengan rakyat serta memahami masalah mereka selain wakil rakyat yang dapat menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ini kerana, rata-rata mereka yang ditemui mengeluh dan merasa amat terkesan dengan pelaksanaan GST.

Lee Auu Moi, 71, seorang petani tempatan dari Sekinchan berkata hidupnya kini susah kerana hasil taninya tidak begitu banyak namun ekoran kenaikan kos sara hidup segala bentuk sewaan turut meningkat.

“Kami petani hidup sangat susah, hasil tani makin kurang tapi kadar sewa dan bil air tinggi. Baja pun sangat mahal, kos semua naik,” kata Lee kepada Malaysiakini.

Oleh itu, Lee mengharapkan wakil rakyat yang dapat menangani masalah yang dihadapi petani.

“Kami mahu pemimpin yang boleh jaga kitalah. Siapa-siapa yang jaga kami, kami akan sokong.

Masalah sama turut dikongsikan Lau Kwai San, 48, seorang lagi petani tempatan di Sekinchan.

Menurut Lau, GST sangat membebankan mereka justeru siapa sahaja pemimpin yang boleh membantu rakyat khususnya yang dapat menghapuskan GST.

“Sekarang dekat sini tak ada masalah sangat cuma GST buat kita semua susah sikitlah. Sekinchan pekan kecil tapi barang semua naik, hidup jadi susah sikitlah.

“Kami nak tengok siapa pemimpin yang boleh bagi rakyat senang, kehidupan yang baik, yang boleh buat kerja dan boleh membantu rakyat, yang boleh hapuskan GST,” kata Lau.

DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar dan pada PRU13, Budiman menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

Satu lagi DUN di bawah Parlimen berkenaan iaitu DUN Sekinchan bagaimanapun dipegang oleh DAP menerusi wakilnya Ng Suee Lim.

Sungai Besar mempunyai 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Manakala, bagi Aisyah Mohamad, 57, beliau mahu pemimpin yang peduli akan masalah dan kesusahan rakyat di parlimen itu.

“Orang Sg Besar nak calon yang peduli rakyat, yang ambil tahu hal rakyat, yang ambil susahnya rakyat kais pagi makan pagi kais petang makan petang, yang beri manfaat kepada rakyat. Pemimpin yang memberi jaminan kebahagian jasmani dan rohani.

Menurut Aisyah, kehidupan di perkampungan nelayan begitu memeritkan di mana ada dikalangan mereka yang terpaksa mengorban pendidikan anak-anak.

“Saya duduk di perkampungan nelayan, kehidupan nelayan sangat menyedihkan. Masalahnya kemiskinan hingga tak mampu tampung pembelajaran anak-anak ke sekolah, kos sara hidup sangat tinggi sekarang,” kata Aisyah.

Mahu calon tempatan

Mengulas mengenai calon parti mana yang diinginkan beliau Aisyah secara peribadi begitu mendambakan calon dari Pakatan Rakyat yang mana dianggotai oleh PAS, PKR serta DAP dan bukan Pakatan Harapan.

“Rata-rata kami mahukan Pakatan Rakyat bukan Pakatan Harapan sebab Sungai Besar kerusi tradisi PAS jadi kami nak PAS juga yang bertanding di sini. Pilihan raya lalu pun PAS menang tipis saja.

Bagi Majid Mohd Yusof,42 pula beliau mahukan calon tempatan yang senang turun padang.

“Setakat ini kami dah maklumkan dari awal lagi kami mahukan calon tempatan dimana kami mahukan pemimpin yang selalu ada disini yang senang turun padang. Jadi bila ada majlis keraian kami mahukan YB turun padang.

“Setakat ini atas dasar yang dibawa kerajaan pusat kami mendapat manfaat yang sama rata dari segi pembangunan, sama ada prasarana mahupun fasiliti. Cuma dari sudut lain ada beberapa isu tanah yang perlu diselesaiakan namun selepas berjumpa menteri besar alhamdulillah ia akan diselesaikan sebelum pilihan raya,” kata Majid kepada Malaysiakini ketika ditemui di Sungai Besar.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS