Pemuda PAS akan mengadap Sultan Sgor minta Khir Toyo dipecat
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi meminta beliau memecat Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebagai Menteri Besar Selangor berikutan pencerobohan kawasan sekitar Bukit Cahaya Seri Alam.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, DPP juga akan menghadap Sultan Selangor bagi meminta baginda menarik balik perlantikan Dr Khir sebagai Menteri Besar Selangor.
Selain itu, katanya, Pemuda PAS akan turut membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap dakwaan penyelewengan yang dilakukan Dr Mohd Khir.
Salahuddin berkata, Abdullah perlu mengambil tindakan tegas ke atas Dr Khir selaras dengan janjinya untuk membanteras pemimpin dan kerajaan yang rasuah.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menyerahkan memoradum menggesa Menteri Besar Selangor meletakkan jawatan kerana gagal menangani pencerobohan kawasan sekitar Bukit Cahaya Seri Alam.
Ia diterima oleh Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Karim Mansor di Bangunan Sultan Salahuddin Shah (SAAS) di Shah Alam pagi tadi. Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Idris Ahmad; Ketua Penerangan, Mazlan Aliman dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.
Dua minggu lalu, katanya, Pemuda PAS Selangor membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam bagi meminta polis menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa Dr Khir dalam isu Bukit Cahaya Alam itu.
Kegagalan mentadbir
"Kita bertindak supaya Dr Mohd Khir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor berikutan kegagalannya mentadbir yang diselubungi pelbagai skandal termasuklah pencerobohan kawasan sekitar taman pertanian itu," katanya.
Salahuddin berkata, adalah sesuatu yang mengaibkan apabila berlaku pencerobohan itu berlaku tidak jauh dari pejabat Menteri Besar sendiri.
Katanya, apa yang berlaku seolah-olah menggambarkan Menteri Besar tidak mengambil berat atau sengaja membiarkan perkara tersebut berlaku.
"Sebanyak 35 syarikat pemaju yang membangunkan kawasan tersebut sudah tentu mendapat kelulusan Menteri Besar sebelum projek ini dimulakannya. Beliau pula tidak mahu bertindak cepat walaupun ianya berlaku di depan mata," katanya.
Katanya, sebelum timbulnya isu pencerobohan kawasan sekitar taman pertanian itu, pelbagai isu lain turut didedahkan yang menunjukkan kelemahan Mohd Khir.
"Ia bermula dengan dakwaan isu rasuah, kegagalan Perbadanan Urus Air Selangor (Puas), kecurian pasir, pembukaan tanah haram oleh pendatang asing di Gombak dan sebagainya.
"Pemuda PAS melihat tindakan yang bersifat campurtangan Perdana Menteri dalam isu pencerobohan tersebut, menggambarkan beliau telah hilang percaya terhadap Dr Mohd Khir," katanya.
Salahuddin berkata, rakyat ingin tahu siapa di belakang 35 syarikat pemaju yang mendapat kontrak membangunkan kawasan di sekitar taman pertanian itu.
Jangan salah orang lain
"Siapa pemilik Syarikat Daun Lebar, orang ramai mengatakan ia ada kaitan dengan Menteri Besar sendiri, tetapi Dr Khir tidak menjelaskannya?" katanya.
Beliau berkata, kemusnahan Bukit Cahaya Seri Alam merupakan tragedi kemusnahan terbesar ekosistem negara dan Dr Mohd Khir perlu bertanggungjawab.
Bagaimanapun, katanya, Dr Khir Mohd sebaliknya cuba menyalahkan pihak lain, termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedangkan kuasa eksekutif terletak di tangannya.
Dr Hassan yang pernah menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) dari tahun 1999 hingga 2004 berkata, beliau sudah beberapa kali membangkitkan soal kemusnahan Bukit Cahaya Seri Alam dalam persidangan DUN negeri tetapi tidak diendahkan.
"Dia (Dr Mohd Khir) memberi jawapan yang sambil lewa sejak isu tersebut dibangkitkan tiga tahun yang lalu," katanya.
Beliau berkata, Dr Mohd Khir juga telah memalukan rakyat Selangor sebagai lanjutan daripada beberapa Menteri Besar Selangor yang terdahulu.