Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
29 murid dan seorang guru keracunan makanan
Diterbitkan:  May 26, 2016 5:29 AM
Dikemaskini: 9:38 PM

Seramai 29 murid dan seorang guru wanita Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 1 dan 2 di Gua Musang mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan nasi kerabu di kantin sekolah berkenaan, semalam.

Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Muhammad Zahari Othman berkata kesemua mangsa mengalami gejala muntah dan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Bandar Chiku untuk menerima rawatan.
    
Bagaimanapun, 10 daripada mereka termasuk guru itu dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka kini dilaporkan stabil.
    
Murid tahun satu hingga tahun empat itu dikatakan makan nasi kerabu bertumis di kantin sekolah berkenaan semasa waktu rehat antara pukul 9.30 pagi dan 10.30 pagi dan tiga jam kemudiannya mereka sakit perut dan muntah, katanya kepada
pemberita di Gua Musang.
    
Katanya guru besar sekolah berkenaan telah diminta menyediakan laporan lengkap berhubung insiden berkenaan dan menjalankan siasatan terhadap tahap kebersihan kantin sekolah itu.
    
Sementara itu, seorang murid tahun dua, Mohd Khairul Ikhwan Mohd Zawawi, 8, berkata sebelum ini, beliau selalu makan nasi kerabu di kantin sekolah itu dan tidak sakit parut, tetapi kali ini bukan sahaja sakit perut, malah muntah berulang kali.
    
Beliau mengalami sakit perut dan muntah itu ketika berada dalam kelas semasa mengikuti peperiksaan ujian pertengahan tahun.
    
"Dalam kelas saya ramai yang mengalami sakit perut dan muntah hingga tidak tahan berada dalam kelas terpaksa keluar (dari kelas) serta minta pertolongan, dan guru-guru segera membawa kami ke klinik," katanya.
    
Putra Aiman Iskandar, 7, murid tahun satu, berkata beliau hampir pitam kerana tidak tahan dengan sakit perut dan muntah.
    
"Saya rasa amat letih kerana muntah berterusan dan tidak pernah mengalami masalah seperti itu walaupun sebelum ini selalu makan nasi kerabu di kantin," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS