Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Percanggahan pemakluman pelaburan RM150j Felcra?
Diterbitkan:  May 27, 2016 9:14 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Percanggahan pemakluman dalam pelaburan amanah saham melibatkan nilai RM150 juta dikatakan berlaku dalam satu pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad).

Berdasarkan dokumen diperoleh Malaysiakini, Pengerusi Felcra Datuk Bung Mokhtar Radin dikatakan mungkin memberitahu lembaga pengarah syarikat itu, dan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) maklumat bercanggah antara satu sama lain.

Dokumen dikatakan minit mesyuarat Felcra pada 24 November 2014 menunjukkan cadangan RM300 juta untuk pelaburan baru.

Daripada jumlah ini, hanya RM50 juta untuk amanah saham. Selebihnya RM200 juta diperuntukkan untuk pengurusan tunai dan RM50 juta lagi untuk deposit tetap.

Mesyuarat itu menyimpulkan bahawa terdapat risiko kerugian jika harga amanah saham jatuh dan “pengurusan perlu mendapatkan kelulusan daripada MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan)” sebelum membuat sebarang pelaburan.

Dalam surat untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah, Bung bagaimanapun dikatakan mungkin menukar angka-angka pelaburan itu.

Anggota parlimen Kinabatangan itu dikatakan menulis Felcra setuju melabur RM150 juta, bukan RM50 juta, dalam bentuk amanah saham.

Beliau dikatakan melampirkan salinan minit mesyuarat bertarikh 24 November yang menyebut Felcra meluluskan pelaburan itu.

Tidak jelas sama ada Bung melampirkan dokumen sama yang dilihat Malaysiakini atau terdapat dokumen lain dengan angka yang lain.

Pada 23 April 2015, Kementerian Kewangan memberikan lampu hijau untuk melabur RM150 juta dalam amanah saham, dengan syarat ia mesti selalu dipantau bagi mengelakkan risiko jika harga saham merudum.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pelaburan amanah saham itu dibuat pada 18 Mei 2015 telah susut nilai sebanyak RM15 juta.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Bung enggan mengulas.

“Saya rasa tak perlu untuk dijawab, ini perbuatan orang khianat,” katanya.

Malaysiakini juga telah menghubungi Felcra untuk mendapatkan maklum balas.

Felcra, sebuah konglomerat kerajaan, ditubuhkan bagi membangunkan sektor luar bandar dalam bidang pembinaan, kejuruteraan, pembangunan harta tanah dan perdagangan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS