Malaysiakini BERITA

Azhar Shukur calon AMANAH di Sg Besar?

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jika sebelum ini, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu atau Mat Sabu disebut-sebut sebagai antara nama yang dicalonkan bagi pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar, kini difahamkan terdapat individu lain yang akan menjadi calon parti berkenaan untuk bertanding kawasan itu.

Malaysiakini difahamkan, parti serpihan PAS tersebut mungkin akan meletakkan calon tempatan iaitu Pengerusi AMANAH Parlimen Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur, menurut sumber yang dekat dengan Pakatan Harapan.

Azhar, 50, yang berasal dari Sungai Besar merupakan seorang bekas guru dan kini menjalankan perniagaan sendiri.

Sementara itu, ketika ditanya mengapa Presiden dan Timbalannya tidak diletakkan sebagai calon,  sumber lain pula memberitahu Malaysiakini bahawa pilihan raya kecil kali ini merupakan satu 'test market' bagi AMANAH.

Sumber tersebut memberitahu, sekiranya pimpinan tertinggi itu menjadi calon dan kalah, ia akan memberi gambaran dan imej buruk kepada parti.

"Pilihan raya kecil kali ini kita nak test market. Lagipun AMANAH baru berusia tujuh bulan. Kalau letak Mat Sabu atau Salahuddin, kalau mereka kalah, akan membawa imej yang kurang baik bagi parti," kata sumber itu.

Sebelum ini, selain Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu, turut dinamakan ialah Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub serta bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bagaimanapun, Nizar dikatakan mungkin akan menjadi calon bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar.

Calon HARAPAN Rabu ini

Pakatan Harapan akan mengumumkan calonnya pada Rabu ini.

Khamis lalu, AMANAH mengemukakan dua nama calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Sebelum ini juga, PKR didakwa mengadakan rundingan bersama PAS dalam isu meletakkan calon di parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, PAS berpendirian untuk tetap meletakkan calon mereka di dua kawasan tersebut memandangkan ia merupakan kerusi tradisi parti Islam berkenaan.

PAS kemudian meletakkan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman sebagai calonnya di Sungai Besar.

Manakala BN pula meletakkan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.