Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerusi manakah yang PAS 'pinjamkan' kepada DAP?'
Diterbitkan:  Jun 1, 2016 8:40 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke mempersoalkan ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz di muktamar dewan itu semalam yang menyarankan pimpinan PAS untuk mengambil kembali kerusi yang “dipinjamkan” kepada PKR dan DAP dalam pilihan raya yang lalu.

"Saya ingin bertanya kepada Nik Abduh, kerusi manakah yang “dipinjamkan” oleh PAS kepada DAP dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13)?

"Mengikut rekod kami, tidak ada sebarang rundingan kerusi di antara PAS dengan DAP sebelum PRU13 kerana tidak ada pertindihan kerusi yang ditandingi oleh kedua-dua parti.

"Justeru itu, soal PAS “meminjamkan” kerusi kepada DAP untuk ditandingi tidak timbul sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga ingin mengingatkan Nik Abduh bahawa DAP merupakan sebuah parti yang telah mengharungi sejarah perjuangan selama 50 tahun dalam arena politik Malaysia.

"Hampir semua kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh DAP dalam PRU13 adalah kerusi-kerusi yang ditandingi sejak tahun 1969 lagi iaitu pilihan raya pertama yang disertai oleh DAP sejak ditubuhkan pada tahun 1966," tambahnya.

Menurut Loke, PAS ada hak dan kebebasan untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya akan datang "tetapi untuk menuntut semula “pinjaman” yang tak pernah wujud adalah satu dusta terhadap DAP".

"Sebagai seorang ahli Parlimen yang bergelar agamawan, saya menyeru beliau supaya lebih bertanggungjawab dalam kenyataannya dan menyampaikan ucapan berlandaskan fakta yang kukuh.

"Hujah beliau yang tidak disokong dengan fakta yang benar merupakan satu cubaan untuk menimbulkan persepsi negatif untuk mengelirukan ahli akar umbi PAS, kononnya hanya PAS sahaja yang berkorban semasa menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat," tegas Loke lagi.

Hakikatnya, kata beliau, ialah PAS juga mendapat kelebihan semasa mereka bekerjasama dengan DAP dan PKR dan membantu PAS memenangi kerusi-kerusi yang tidak pernah dimenangi oleh mereka terutamanya di negeri-negeri Pantai Barat seperti di Perak, Selangor dan Johor.

"Saya juga berasa kesal dengan sikap angkuh Nik Abduh yang tidak mengenang jasa dan peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu PAS melonjak ke politik arus perdana pasca Gerakan Reformasi 1998.

"Umum diketahui bahawa PAS memenangi kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1999 di atas gelombang kebangkitan rakyat yang dicetus oleh kemarahan terhadap kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar," tegasnya.

Lihat Komen
ADS