Malaysiakini BERITA

Pegawai masuk AMANAH, laporan kewangan tergantung

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pembentangan laporan penyata tahunan kewangan Pemuda PAS 2015 sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-57 di Kota Bharu malam tadi 'terbantut' dan  terpaksa ditangguhkan susulan status keahlian Pemeriksa Kira-kira 2, Jamel Saring ‎meragukan perwakilan.

Isu itu ditimbulkan perwakilan dari Hulu Langat, Selangor yang mendakwa‎ Jamel kini sudah tidak sehaluan dengan PAS dan kemungkinan sudah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Susulan itu, Pengerusi Tetap Pemuda PAS, Kamal Ashaari membuat keputusan supaya perkara itu dirujuk kepada PAS Pusat sebelum diputuskan pada sesi perbahasan hari ini atas cadangan Pengarah Undang-undang, Wan Rohimin Wan Daud.

Terdahulu, perkara itu ‎menarik perhatian selepas keputusan untuk mengesahkan laporan tahunan dan penyata kewangan itu dipersoal perwakilan.

Bendahari Pemuda PAS, ‎Mukhtar Suhaili berkata, beliau sendiri tidak mempunyai maklumat mengenai status Jamel walaupun mempunyai hubungan peribadi yang baik.

‎"Saya ada hubungan peribadi yang baik dengan Jamel, dan berdasarkan perbincangan-perbincangan sebelum ini beliau pernah datang ke pejabat  untuk menandatangani penyata.

"Penyata ini masih berdasarkan sesi (pemilihan) yang lepas, saya tidak tahu dan tak pasti dia dah masuk AMANAH atau belum. Masa dia datang berjumpa dengan saya rasa dia masih PAS," katanya yang disambut dengan gelak ketawa perwakilan.

Sementara itu, Setiausahanya Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan supaya laporan tersebut diterima dengan mengambil kira ianya ‎disahkan oleh Pemeriksa Kira-kira 1, Mohd Shahir Abu Hasaan saja. 

Gugur dari jawatan

Bagaimanapun cadangan ‎tersebut dipertikaikan seorang perwakilan Sepang supaya perkara itu merujuk perlembagaan parti.

Kemudiannya rujukan perlembagaan dijelaskan oleh Wan Rohimin ‎mengatakan Fasal 79 menyebut Pemeriksa kira-kira yang dipilih pada muktamar lalu‎ hendaklah tidak kurang daripada dua orang.

Namun katanya, perlembagaan itu tidak terpakai jika berlaku keguguran atau perlucutan keahlian.

"Malam ini kita tidak pasti tarikh (Jamel keluar parti), sefaham saya laporan kewangan ini berakhir pada 31 Disember 2015. Jika dia digugurkan selepas tarikh itu tidak timbul masalah.

"Tetapi jika dia gugur pada sebelum tarikh itu, tidak ada peruntukan yang mencacatkan laporan kewangan, namun kebiasaannya isu undang-undnag ini lebih baik ditangguhkan esok (hari ini) untuk penjelasan ‎setiausaha agung dan pihak sepatutnya," katanya.

Sementara‎, hari ini perwakilan diberitahu Jamel sudah menyertai AMANAH.

Sehubungan itu, Mukhtar berkata bekas ahli PAS dari Hulu Langat itu digugurkan daripada parti sekali gus dilucutkan daripada jawatan tersebut.

"Dan kita bersetuju untuk melantik Ali Rajaei Jamaluddin sebagai pemeriksa kira-kira 2 yang baru.

"Beliau (Ali Rajaei) ada di sini dan sudah menyemak dan meneliti laporan penyata kewangan tersebut," katanya.

Susulan itu, laporan kewangan itu juga diterima perwakilan.