Malaysiakini BERITA

Petualang terus nikmati hasil diperoleh cara haram

Muhyiddin Yassin  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana menteri dan seluruh anggota kabinet mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas skandal penyelewengan 1MDB yang yang satu demi satu didedahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa.

Terbaharu, Swiss Financial Market Supervisory Authority (FINMA) mengesahkan berlakunya kegiatan pengubahan wang haram dalam urus niaga BSI Bank di Singapura yang melibatkan 1MDB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Mei 2016, FINMA yang menjalankan prosiding penguatkuasaan ke atas pegawai-pegawai BSI Bank di Singapura mendapati kegiatan pengubahan wang haram ini melibatkan urus niaga berjumlah ratusan juta dolar Amerika Syarikat dalam 100 akaun di bank berkenaan.

Siasatan FINMA mendapati dalam tempoh antara 2011 hingga April 2015, pihak bank telah gagal mengenal pasti urus niaga dalam skala besar yang berisiko tinggi mahupun menjelaskan sumber aset-aset yang diurus niaga.

Kesemua urus niaga ini adalah berkaitan dengan perniagaan yang melibatkan individu-individu yang terdedah secara politik (politically exposed persons) yang mempunyai hubungan dengan 1MDB.

Beberapa fakta penting yang didedahkan oleh FINMA menunjukkan pihak bank bersubahat dalam kegiatan pengubahan wang haram yang berlaku dalam skala besar. Antaranya:

(1) Pihak bank berpuas hati dengan penjelasan pelanggan, iaitu individu yang mempunyai hubungan dengan 1MDB, bahawa deposit berjumlah AS$20 juta dolar (RM81.6 juta) adalah ‘hadiah’.

(2) Sejumlah AS$98 juta dolar (RM400 juta) dikreditkan dalam satu akaun tanpa dijelaskan latar belakang komersialnya.

(3) Dalam banyak kes, terdapat bukti urus niaga ‘pass-through’ yang membayangkan berlakunya kegiatan pengubahan wang haram.

Dalam satu kes, sejumlah AS$20 juta dolar (RM81.6 juta) dipindahkan ke dalam beberapa akaun di bank berkenaan pada hari yang sama sebelum dipindahkan ke dalam akaun di sebuah bank lain.

(4) Pihak bank menjalankan urus niaga lain yang melibatkan sejumlah wang yang serupa walaupun dalam sesetengah kes penjelasan dan dokumen kontrak yang diperoleh adalah bertentangan dengan tujuan akaun-akaun berkenaan dibuka.

Agak malang...

Kesemua fakta ini menunjukkan telah berlaku aktiviti pengubahan wang haram dalam skala besar yang melibatkan wang berjumlah ratusan juta dolar dalam urus niaga yang dikaitkan dengan 1MDB.

Peguam Negara Switzerland, Micheal Lueber, sebelum ini telah mendedahkan bahawa sejumlah AS$4 bilion dolar (RM16.3 bilion) wang 1MDB dikhuatiri telah dilesapkan (misappropriated).

Selain itu, berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, sejumlah AS$7 bilion dolar (RM28.6 bilion) tidak dapat dikesan, atau dalam erti kata lain telah lesap.

Adakah pendedahan FINMA mengenai aktiviti pengubahan wang haram di BSI Bank di Singapura adalah sebahagian daripada wang 1MDB yang dikatakan telah lesap itu?

Selain itu, Wall Street Journal telah mendedahkan sekeping surat daripada Bank Negara Malaysia kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Hassan Ariffin.

Surat ini mengesahkan bahawa syarikat Good Star Limited yang telah menerima bayaran sejumlah AS$1.03 bilion dolar (RM4.2 bilion) daripada 1MDB adalah milik Jho Low iaitu kenalan rapat anak tiri perdana menteri, Riza Aziz, yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana membeli hartanah bernilai ratusan juta dolar di negara itu menggunakan sumber dana diragui.

Ini adalah bukti penyelewengan terbesar dalam skandal 1MDB. Bagaimana bayaran yang sepatutnya dibuat kepada syarikat usahasama 1MDB dan Petrosaudi telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat milik individu yang tiada kaitan dengan usahasama tersebut.

Lebih mencurigakan individu ini mempunyai kaitan rapat dengan keluarga perdana menteri dan diketahui menjadi orang perantara dalam urusan-urusan 1MDB yang melibatkan perdana menteri sendiri.

Saya menggesa supaya pihak berkuasa di Malaysia bersikap lebih telus dan serius dalam menjalankan siasatan ke atas 1MDB.

Agak malang apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ke hari ini tidak diberikan kebenaran untuk mendapatkan Mutual Legal Assistance (MLA) bagi mengumpul bukti-bukti mengenai penyelewengan1MDB dan SRC International di luar negara.

Agak malang juga apabila peguam negara mendapati tiada apa-apa bukti salah laku yang membolehkan pihaknya mendakwa mana-mana individu yang terbabit dalam skandal 1MDB.

Keadaan terdesak

Sedangkan hasil siasatan FINMA ke atas BSI Bank menunjukkan terdapat bukti-bukti salah laku yang kukuh untuk mendakwa dan seterusnya mensabitkan pihak-pihak yang berkenaan dengan kesalahan jenayah.

Malah, pihak berkuasa Singapura juga telah mendakwa seorang pegawai bank BSI dan mengarahkan bank berkenaan ditutup kerana penglibatan dalam skandal kewangan yang membabitkan 1MDB.

Kegagalan Jabatan Peguam Negara menemui apa-apa bukti kesalahan jenayah dalam kes ini hanya akan menjejaskan kewibawaan institusi itu dan juga agensi-agensi lain yang terlibat dalam siasatan ke atas 1MDB.

Malah, lebih malang sebahagian besar anggota kabinet yang saya tahu mempunyai maklumat mengenai penyelewengan yang berlaku di dalam 1MDB, khususnya yang melibatkan perdana menteri, diam seribu bahasa.

Tiada seorang pun yang berani tampil menyatakan kebenaran, malah ada kalangan mereka yang lebih selesa bersekongkol mempertahankan kemungkaran.

Ini adalah episod paling hitam dalam sejarah kepimpinan negara kita.

Mereka yang memilih untuk mempertahankan kemungkaran dan melindungi kebatilan sebenarnya tidak layak untuk memimpin.

Dengan pendedahan hasil siasatan oleh FINMA dan pendakwaan kesalahan jenayah ke atas seorang pegawai BSI Bank oleh pihak berkuasa Singapura, adalah amat aneh lagi menghairankan jika pihak berkuasa di Malaysia masih gagal menemui sebarang bukti bagi mendakwa individu-individu yang terbabit dalam skandal rasuah 1MDB.

Saya mengulangi penegasan saya sebelum ini bahawa perdana menteri mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas segala penyelewengan yang berlaku dalam syarikat 1MDB kerana beliau selaku pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB terlibat secara langsung dalam membuat keputusan-keputusan transaksi syarikat.

Kerana penyelewengan inilah 1MDB menanggung liabiliti berjumlah RM53 bilion pada masa ini yang sekiranya tidak dapat dibayar oleh syarikat, maka akhirnya kesemua tanggungan ini terpaksa dibayar oleh kerajaan menggunakan wang cukai yang dikutip daripada rakyat.

Akhirnya rakyat terpaksa menanggung beban akibat penyelewengan yang dilakukan oleh perdana menteri.

Ini sesuatu yang amat tidak adil. Jika tiada sebarang tindakan diambil ke atas perdana menteri dan individu-individu lain yang terlibat di dalam skandal ini, maka rakyat tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya, malah akan terus ditindas.

Dalam keadaan yang terdesak ini, kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa banyak lagi kantung negara akan dikebas semata-mata untuk menutup lubang besar yang dibuat oleh 1MDB.

Sedangkan para petualang yang menyeleweng wang negara terus dibiarkan bebas menikmati hasil yang diperoleh secara haram.

 


TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN nntan timbalan perdana menteri.