Malaysiakini
BERITA

Azizah percaya Azmin takkan lindungi salah laku

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Jun 2016, 8:42 pagi

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan kepercayaan penuh terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dalam berdepan tuduhan terhadap kerajaan negeri itu.

Azizah dipercayai merujuk dakwaan 'permintaan wang dan wanita' ketika berurusan dengan kerajaan Selangor dan yakin Azmin tidak akan melindungi pihak terlibat sekiranya terdapat bukti salah laku berkenaan.

"Saya dan pimpinan PKR meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Datuk Seri Azmin Ali, menteri besar Selangor.

"Kami yakin sekiranya terdapat bukti yang kukuh berkenaan apa jua salahlaku oleh sesiapa pun di dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor, menteri besar akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan sebarang kebejatan tidak akan dilindungi," katanya pada kenyataan media.

Sebelum ini Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendedahkan terdapat permintaan 'wang dan wanita' dalam berurusan dengan kerajaan Selangor melalui satu perbualan dalam aplikasi WhatsApp yang bocor.

Biro politik PKR kemudian mengarahkan Rafizi membuat laporan dan mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM).

Bagaimanapun Azmin menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kempen memburuk-burukkan pentadbiran beliau.

Dalam kenyataan hari ini, Azizah berkata terdapat usaha daripada musuh PKR untuk memecah belahkan parti itu menjelang dua pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

"Namun, saya dan pimpinan PKR termasuk di Selangor tidak akan terperangkap dengan usaha terdesak yang menggunakan media untuk mengalih pandangan rakyat dari masalah pimpinan Umno-Barisan Nasional yang terpalit dengan skandal kewangan, tatakelola yang menyimpang dan dasar-dasar yang membebankan rakyat," katanya.

Bagi PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Azizah berkata PKR telah menggesa agar parti pembangkang berpegang kepada prinsip satu lawan satu'.

Bagaimanapun katanya parti itu kesal kerana perkara ini tidak dapat dicapai walaupun telah berusaha agar prinsip tersebut dapat dizahirkan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.