LTAT ambil alih firma bina kapal TLDM yang bermasalah

   

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah mengambil alih pengurusan firma yang membina 27 kapal peronda untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berikutan kebimbangan mengenai kemampuannya untuk menyiapkan kontrak tersebut, demikian menurut satu laporan hari ini.

Berikutan itu, akhbar The Edge melaporkan bahawa Pengerusi PSC-Naval Dockyard Sdn Bhd, Tan Sri Amin Shah Omar Shah, telah digantikan oleh wakil daripada LTAT. Amin kekal sebagai timbalan pengerusinya.

"Perubahan tersebut adalah bertujuan untuk memastikan kontrak pembinaan kapal-kapal itu dapat disiapkan," laporan akhbar tersebut yang memetik sumber-sumber.

LTAT merupakan pemegang saham dalam firma swasta itu di mana pihak kerajaan mempunyai kata putus terhadap perjalananan.

Rabu lalu, akhbar Asian Wall Street Journal melaporkan bahawa kerajaan sedang mencari jalan untuk 'menguraikan" kontrak bernilai RM24.3 juta itu berikutan timbulkan keraguan mengenai kemampuan PSC untuk menyempurnakannya.

Kecacatan teknikal

PSC Industries Bhd telah menandatangani kontrak selama 10 tahun pada 1998 untuk membina 27 kapal peronda TLDM. Kapal pertama sepatutnya diserahkan September tahun lalu, manakala enam lagi menjelang tahun 2008.

Bagaimanapun, bulan lalu, Panglima TLDM, Datuk Mohamad Anwar Mohamad Nor dilaporkan berkata, pihak TLDM telah menemui masalah-masalah teknikal pada kapal tersebut apabila menjalankan ujian terhadapnya tahun lalu.

Beliau juga dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, selain kecacatan dalam sistem kawalannya, pakej latihan untuk pegawai dan kakitangan TLDM mengendalikan kapal itu juga sudah tidak sesuai lagi.

Laporan Bernama itu juga memetik beliau sebagai berkata kapal tersebut sepatutnya diserahkan kepada TLDM September lalu, tetapi oleh kerana kecacatan teknikal, dan kegagalanny adalam ujian di laut, maka penyerahannya telah ditangguhkan kepada Julai ini.

Manakala akhbar Asian Wall Street Journal pula melaporkan bahawa kerajaan telahpun membuat bayaran lebih RM2.5 bilion untuk projek itu. PSC membina dua kapal pertama untuk rakan kongsinya yang diketuai oleh syarikat ThyssenKrupp AG, Jerman.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In