Mulai 1 Disember tahun depan, larangan penjualan arak kepada remaja dinaikkan daripada 18 kepada 21 tahun.
Ini susulan pewartaan peraturan berkaitan minuman beralkohol bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pada 27 Mei lalu, yang akan berkuat kuasa dalam tempoh 18 bulan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam berkata pindaan itu selaras dengan persetujuan yang dimaterai menteri kesihatan pelbagai negara pada 2010 untuk mengurangkan kebolehdapatan minuman beralkohol di pasaran.
Selain itu, kata menteri, penjual minuman beralkohol wajib mempamerkan notis “meminum arak boleh membahayakan kesihatan” di hadapan tempat arak dijual dan pada produk.
Kerajaan juga meletakkan standard baru untuk arak campuran (CHL) yang hanya dibenarkan dijual dalam botol kaca dengan isipadu minimum 700ml.
“KKM (Kementerian Kesihatan) sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
“Dengan penguatkuasaan yang bersungguh dan berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini adalah terkawal.”
