Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis dijangka siasat pegawai atasan Bank Negara
Diterbitkan:  Jun 1, 2016 9:12 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Polis dijangka mengambil keterangan daripada seorang pengarah Bank Negara Malaysia dan beberapa kakitangannya esok berkaitan surat yang dibocorkan kepada The Wall Street Journal.

Menurut sumber, satu pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan memanggil pengarah Jabatan Perisikan Kewangan Bank Negara dan akan melihat kepada kes pengubahan wang haram.

"Ini akan menjadi sebahagian daripada proses untuk menentukan sama ada surat yang dibocorkan kepada The Wall Street Journal itu adalah sahih," katanya kepada Malaysiakini.

Pasukan polis khas itu bertanggungjawab dalam kes-kes berprofil tinggi.

Berikutan itu, sumber itu berkata, kenyataan juga akan direkodkan daripada anggota-anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Jika surat itu didapati tulen, kita perlu mengetahui bagaimana ia telah bocor," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan Bank Negara akan disoal mengenai isu itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan anggota PAC disoal, dengan mengatakan kenyataan akan direkodkan daripada semua individu yang polis percaya boleh memberi penerangan tentang kes itu.

Selepas surat itu, yang berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) didedahkan minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim telah membuat laporan polis terhadap WSJ.

Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak dapat mengesahkan jika surat itu adalah tulen.

WSJ, yang dituduh sebahagian daripada kempen untuk menggulingkan Najib telah memaparkan salinan surat itu di Twitter, dan kemudian di tweet semula oleh ketua editor Asianya, Tom Wright.

Surat itu adalah dari Bank Negara kepada pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin.

Dokumen tersebut kononnya mengesahkan Good Star Limited dimiliki jutawan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ini bercanggah dengan dakwaan kerajaan bahawa Good Star, yang sejak dibubarkan, dimiliki bekas rakan kongsi dan usaha sama 1MDB, PetroSaudi International.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS