Duta Indonesia mohon maaf kepada rakyat Msia
Duta Indonesia Drs KPH Rusdihardjo memohon maaf bagi pihak pemerintahnya kepada rakyat Malaysia tentang insiden pembakaran bendera Jalur Gemilang yang berlaku di beberapa tempat di negara itu dalam isu pertikaian kawasan perairan yang kaya dengan minyak di Laut Sulawesi.
Sebaliknya,
Bernama
melaporkan, beliau memuji sikap rakyat Malaysia yang begitu
tenang dan tidak "terjungkit"
langsung dengan provokasi penuh berapi segelintir rakyat republik itu.
"Pembakaran bendera ini merupakan tindakan yang tidak sopan. Mereka (yang membakar bendera) ini ialah orang-orang `hungry' (lapar), bila `hungry' mereka jadi `angry' (marah)" katanya ketika ditemui pemberita Malaysia dan Indonesia di kedutaan besar republik itu di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu, beliau ditemuai 23 ahli Pemuda Umno Malaysia diketuai Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin untuk membantah tindak-tanduk rakyat republik itu yang jelas menghina kedaulatan negara, pemimpin dan rakyat Malaysia.
Dalam komennya terhadap insiden itu, Rusdihardjo melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan emosional segelintir rakyat Indonesia yang menunjukkkan kebiadapan itu.
Tiada balas dendam
Beliau memuji kematangan dan sikap tenang rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan ancaman dan cercaan rakyat Indonesia.
Merujuk kepada kedatangan rombongan Pemuda Umno hari ini, Rusdihardjo berkata rakyat Malaysia sebaliknya melahirkan rasa tidak puashati dengan cara yang tertib iaitu melalui saluran yang sepatutnya dan rasmi.
Katanya, tidak ada tindak balas dendam seperti pembakaran bendera "Sang Saka Merah Putih" Indonesia mahupun cercaan kepada Presidennya Susilo Bambang Yudhoyono ataupun merobohkan pintu pagar kedutaan.
Kenyataan itu dilahirkan Rusdihardjo sendiri kepada Khairy dalam pertemuan mereka selama setengah jam hari ini.
Rusdihardjo juga meletakkan tanggungjawab yang berat kepada media Indonesia yang merupakan punca kepada sikap emosional rakyat republik itu.
"Media Indonesia terlalu bebas dan tidak sepatutnya mengambil tindakan mengapi-apikan rakyat," katanya.