Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa gangguan seksual boleh saman pelaku
Diterbitkan:  Jun 2, 2016 10:32 PM
Dikemaskini: 2:38 PM

Mangsa gangguan seksual di tempat kerja boleh memfaikan saman sivil bagi menuntut ganti rugi terhadap pelaku kerana tindakan salah laku itu tidak boleh diterima, demikian keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar menegaskan bahawa gangguan seksual adalah salah laku serius dalam apa jua bentuk dan ia tidak dapat diterima oleh sesiapa sahaja.

Ketika menolak rayuan bekas pengurus besar, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Tabung Haji (TH), Mohd Ridzwan Abdul Razak, katanya, gangguan seksual dalam apa
jua bentuk merendahkan maruah dan penghormatan orang yang diganggu, apatah lagi menjejaskan kesejahteraan mental dan kestabilan emosi.

"Pelaku bebas tanpa hukuman akan terus menakutkan, memalukan dan mengkibatkan trauma kepada mangsa sehingga mewujudkan suasana tempat kerja yang tidak sihat," katanya dalam penghakiman setebal 42 halaman.

Selepas meneliti kes itu, katanya, panel lima hakim sebulat suara bersetuju dengan mangsa Asmah Mohd Nor, selaku responden, bahawa tindakan diambil terhadap gangguan seksual itu dihujah dengan secukupnya serta disokong dengan butiran gangguan tersebut.

Suriyadi berkata terdapat bukti secukup untuk menunjukkan bahawa perayu (Mohd Ridzwan) telah melazafkan kenyataan lucah dan biadap sama ada secara langsung kepada responden atau pada kehadiranya dengan niat dia akan mendengarnya.

Mohd Ridzwan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa dia telah mengganggu bekas rakan sekerjanya itu.

Pada 24 Sept, 2012, Mahkamah Tinggi menolak saman Mohd Ridzwan terhadap Asmah untuk menuntut deklarasi bahawa dia tidak melakukan gangguan seksual terhadap wanita itu dan dia telah difitnah oleh beliau.

Mahkamah Tinggi memberi penghakiman untuk tuntutan balas oleh Asmah dan memberikan ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM120,000 kerana mengalami kemurungan yang serius.

Pada prosiding hari ini, panel diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mengarahkan Mohd Ridzwan membayar RM20,000 sebagai kos kepada Asmah, yang turut hadir di mahkamah.

Hakim lain dalam panel tersebut ialah Suriyadi, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Ramly Ali dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Ini merupaskan kes pertama mangsa gangguan seksual di tempat kerja menuntut penyelesaian daripada mahkamah sivil.

Suriyadi berkata adalah ternyata bahawa tidak ada kes yang dilaporkan berhubung Akta Kerja 1955 di mana mangsa individu telah menuntut penyelesaian daripada pelaku didakwa merlakukan gangguan seksual.

"Dalam Akta Kerja 1955, mangsa kini berhak untuk membuat aduan kepada majikan dan menghendaki majikan menyiasat gangguan seksual.

"Walau bagaimapun, diakui sebagai berkata sebelum ini, tiada wujud tindakan sivil untuk gangguan seksual di bawah undang-undang negara," katanya.

Sebaliknya, katanya, Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja 1999 (Kod Amalan 1999) hanya digunakan oleh majikan sebagai garis panduan tanpa sebarang kuasa undang-undang.

Beliau berkata panel hakim mengakui Kod Amalan 1999 hanya semata-mata garis panduan secara kolektif bagi membolehkan majikan menubuhkan mekanisme dalaman di
peringkat organisasi bagi mencegah dan membasmi masalah gangguan seksual di tempat kerja.

Suriyadi berkata Kod Amalan itu tidak memberikan sebarang jalan untuk mangsa selain di tempat kerja.

Undang-undang tort

Menurutnya pindaan terkini terhadap Akta Kerja 1955 hanya mengenakan kewajipan ke atas majikan untuk menangani aduan gangguan seksual dengan sebaik mungkin di tempat kerja.

Selepas memikirkan perkara itu, katanya, panel telah mencapai keputusan untuk melaksanakan aktivisme kehakiman dan memutuskan bahawa sudah tiba masa untuk mengimport tort gangguan ke dalam sistem undang-undang dan kehakiman dengan gangguan seksual menjadi sebahagian daripadanya.

Suriyadi berkata undang-undang tort di negara ini masih lagi berdasarkan prinsip Common Law Inggeris.

"Sehingga Akta Kerja (Pindaan) 2012 berkuat kuasa hanya 1 April 2012, tidak ada peruntukan undang-undang sama sekali mengenai gangguan seksual di Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pindaan itu memperuntukkan kaedah cara majikan harus menangani aduan gangguan seksual di tempat kerja tetapi malangnya tidak menangani hak dan liabiliti pelaku dan mangsa.

Panel itu turut menggariskan definisi gangguan seksual dalam bentuk lisan dan juga fizikal termasuk sindiran seksual, komen dan ucapan berbaur lucah, kelakuan tidak senonoh, bunyi tidak senonoh, lucah atau menghina, ancaman seksual secara tersirat, pandangan berahi, menjeling, memaparkan gambar-gambar menghina dan membuat isyarat lucah.

-Bernama

Lihat Komen
ADS