Paling Popular
Terkini

Dalam disiplin pengurusan, proses membuat keputusan adalah sama penting dengan keputusan yang kita ingin capai. Ia bukan sekadar memperkukuhkan keputusan sebagai natijah hujungnya tetapi juga proses memantulkan nilai inklusiviti, bertanggungjawab dan nilai kesemuaan pertimbangan dan perkiraan untuk tujuan diaudit para pengkritik, serta mempertahankan hujah kenapa sesuatu keputusan diambil.

Prinsip pengurusan di atas tidak terkecuali dalam semua bidang kehidupan termasuk menguruskan soal-soal pemerintahan.

Syariah sebagai asas pembangunan negara dalam menentukan dasar dan perundangan tidak terlepas daripada aspek pengurusan dan pentadbiran, malah premis fikah telah teranjak dari sekadar fatwa agama kepada memahami usul sesuatu fatwa agar dapat diperluaskan skopnya sebagai qias kepada hukum yang sedia ada.

Namun ia tidak berhenti sekadar itu. Perkembangan semasa telah menganjak fikah dan usul kepada satu tahap proses berfikir dalam membuat keputusan disandarkan kepada mencapai maksud dan tujuan nilai-nilai syariah lebih besar dan utama iaitu maqasid al-shariah.

Ringkasnya hukum-hakam yang hendak dipraktikkan dalam polisi dan perundangan negara perlu mengambil kira waqie (realiti daerah pelaksanaan).

Kedua, kesan (maalatul af'al) sama ada tujuan utama - seperti keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan - tercapai dan akhirnya ialah, keputusan yang berpandukan keutamaan atau keseimbangan daripada semua masukan (inputs) semasa proses memahami realiti dan kesan perkiraan.

Imam Al-Syatibi Al-Gharnaqi telahpun menghuraikan proses berfikir di atas dalam kitabnya Muwafaqat dengan memberikan sesuatu nas hukum dengan spektrum yang lebih luas ke atas al-mahkum alaihi (objek atau daerah hukum itu hendak dipraktikkan).

Pertimbangan paling utama semasa proses membuat keputusan ialah untuk mencapai maslahah ’ammah (manfaat umum) di penghujungnya, dan bukan maslahah (boleh juga dibaca muslihat atau mepentingan) kelompok ataupun agenda sempit.

Gangguan kepentingan sendiri apatah lagi untuk tujuan jangka pendek adalah penyebab utama sesuatu keputusan itu dianggap terburu-buru, tidak konsisten dan boleh diragui.

Pemikiran maqasid di atas amat penting dalam memahami usul rang undang-undang persendirian yang dibuat oleh ahli parlimen Marang pada hari terakhir sesi Dewan Rakyat pada Mei 2016 lalu.

Kekelliruan jejaskan syarat pertama

Ia berkenaan pindaan yang dicadangkan untuk Akta 355 dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Khusus untuk seksyen 2, MP Marang secara umum mahukan syarat keterbatasan kuasa mengenakan hukuman dalam Mahkamah Syariah (tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan) diperluaskan kepada “mengikut hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang syariah Islam...tidak membawa kepada hukuman mati”.

Meneliti secara substantif usul tersebut, kita tidak terelak daripada cuba memahami dua persepsi, iaitu adakah ia muqaddimah kepada pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang didakwa sebagai Hudud oleh pemimpin PAS, atau pemerkasaan bidang kuasa mahkamah syariah yang didakwa oleh pemimpin Umno?

Kekeliruan ini pada awalnya telah menjejas syarat pertama proses membuat keputusan iaitu kejelasan (clarity).

Jika ianya untuk Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II, usul ini masih lagi belum memadai kerana sariqah (jenayah curi), qatl (jenayah bunuh) dan riddah (murtad) masih lagi terkecuali kerana kesalahan tersebut diperuntukkan dalam kanun jenayah di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Dalam hal ini hanya Kelantan yang berbeza - secara konsepnya - dalam enakmen kanun jenayah syariah berbanding negeri lain. Selain Kelantan, senarai kesalahan jenayah tidak mengikuti format hudud seperti Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Dengan kata lain usul dibawa Marang diluluskan selepas dibahas, Kelantan hanya dapat melaksanakan peningkatan hukuman sebat sahaja untuk mengikut kesalahan dalam hudud tetapi tidak pada lainnya.

Jika usul ini adalah untuk memperkasakan mahkamah syariah dari sudut bidang kuasa, mahukah negeri lain - yang ditadbir BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) - berbuat demikian?

Apakah political will melaksanakan semangat pindaan pada negeri-negeri lain (jika diluluskan) sama dengan kerajaan Kelantan yang mendakwa hudud adalah talian hayat mereka kepada pengundi?

Adakah hudud "talian hayat" kerajaan HARAPAN dan BN?

Jika jawapannya tidak, mengapa dan apakah tujuan usul itu diberi ruang oleh BN kepada Marang yang merupakan presiden PAS?

Perlu spektrum luas

Adakah ia untuk menyelamatkan Kelantan atau BN dan PAS memikirkan ia kepentingan negara dalam mencapai maslahah umum? Atau adakah usul Marang itu sebagai konsesi hubungan baik PAS-Umno selepas PAS ‘bercerai’ dengan Pakatan? Adakah perkiraan ini cara memproses keputusan dalam usul Marang?

Jangan mudah memperkatakan ia soal agama, lalu segala perkiraan lain dikesampingkan. Malah saya mengatakan kerana ia menyentuh Islam, proses membuat keputusan itu sewajarnya lebih menyeluruh, dirundingkan secara awam bahkan perlu mengambil kira realiti dan kesannya agar nanti tidak dituduh proses keadilan Islam dilakukan atas pertimbangan politik sempit dan tersirat serta tidak menyeluruh.

Realiti perundangan dan kerangka negara serta masyarakat kompleks di Malaysia hari ini perlu diletakkan pada spektrum luas bagi melaksanakan perundangan jenayah Islam, khusus yang disebut dalam nas dan dalil.

Satu lagi realiti ialah kefahaman umat Islam sendiri terhadap apa yang kita fahami daripada tuntutan syariah dan maqasid (tujuan utama) yang hendak dicapai.

Jika syariah sebagai segmen hudud semata dan dijadikan pula sebagai manifesto politik untuk kekal berkuasa, ia akan terdedah kepada manipulasi serta eksploitasi sentimen agama bagi mencapai maksud politik.

Ia adalah ketidakadilan kepada tujuan syariah yang didatangkan menjangkau sekadar alat politik.

Lebih bahaya ialah, isu hudud atau pemerkasaan mahkamah syariah dijadikan ‘pertaruhan’ kepada strategi rundingan dan survival parti politik tertentu, lantas menggadaikan maslahah umum yang di atasnya terletak keputusan tuntas dan menyeluruh untuk kepentingan semua.

Dos berlebihan pada perkiraan survival politik akan mengalihkan tumpuan utama rakyat kepada masalah negara, korupsi, kezaliman undang-undang yang juga merupakan tuntutan penting dalam membuat perkiraan undang-undang jenayah Islam.

Ia tidak semudah mengatakan "hal ini hanya untuk orang Islam" sedangkan realiti syariah dan perundangan dalam konteks proses demokrasi berparlimen diwakili oleh Islam dan bukan Islam yang ada kepentingan menerima atau menolaknya.

Perbahasan nanti bukan soal tolak pemerkasaan mahkamah syariah atau muqadimah hudud bagi sesetengah pihak tetapi ia persoalan realiti kerangka yang mengizinkan aspek perundangannya dibahas dan diperinci dari sudut negara berperlembagaan bernama Malaysia.

Jadi amaran seperti “bukan Islam jangan campur tangan” atau “bukan Islam tidak boleh menentukan hal umat Islam” tidak konsisten dengan kenyataan bahawa Parlimen adalah tempat berbahas secara demokratik dan membenarkan semua pihak mengambil bahagian.

Marang perlu jujur

Sama juga kenyataan bersentimen seperti “tolak usul Marang adalah tolak hudud atau tolak pemerkasaan mahkamah syariah”.

Ia kenyataan tidak bertanggungjawab kerana tiada siapa yang menentang syariah mahupun Islam tetapi memperundangkannya adalah isu berlainan dari sudut pentadbiran, pengurusan dan soal perundangan negara.

Janganlah mengheret agama dalam soal mengurus dan mentadbir urusan agama kerana ia dua perkara berbeza. mengkritik pentadbiran agama tidak sama dengan mengritik prinsip ajaran agama!

Perbahasan rang undang-undang persendirian Marang menarik untuk dibahaskan semua ahli parlimen dalam gelanggang demokrasi - jika ia dibenarkan dalam sesi pembentangan bajet pada Oktober depan nanti.

Marilah kita fokus kepada isu substantif Akta 355 yang ada kaitan dengan keabsahannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Marang hanya meneruskan usaha pindaan sebelum ini dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah 1984, 1989 dan 1997.

Ia bukan hudud tetapi isu pentadbiran untuk memperundangkan kesalahan jenayah syariah yang sedia ada dalam enakmen jenayah syariah negeri. Marang perlu jujur menjelaskannya kepada ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia bahawa usulnya hanya untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dalam kerangka perundangan sedia ada.

Ahli Parlimen Marang selaku presiden PAS, dan mursyidul amnya sinonim dengan tagline “Hudud adalah nyawa PAS” tidak perlu mempolitikkan hudud untuk survival partinya.

Begitu juga Umno, perlu jujur untuk tidak menggunakan peluang ini untuk melakukan aksi menyelamatkan diri daripada palitan dakwaan rasuah di bawah pimpinan Najib Razak, kerana akhirnya nama Islam akan menjadi buruk di mata penganutnya dan orang bukan Islam.

Islam dan syariah menjangkau semua perkiraan politik. Menjadi tanggungjawab ahli politik memelihara nilai-nilai keadilan, kemanusian dan hak yang diperuntukkan sebelum mempolitikkan isu syariah sebagai manifesto politik masing-masing.


MUJAHID YUSOF RAWA anggota parlimen Parit Buntar.

Lihat Komen
ADS