BERITA Malaysiakini

PM: Tolak penyebar fitnah, pengamal politik kebencian

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat di negara ini mesti menolak mana-mana individu atau kumpulan yang sering menabur fitnah, mentohmah dan menyebarkan propaganda, termasuk mengamalkan politik kebencian.

Menurut perdana menteri tidak ada sesiapa di negara ini yang berhak berbuat sesuka hati kerana Malaysia sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan mempunyai 'rule of law' serta ketetapan undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Walaupun kerajaan berdepan pelbagai dugaan dan cabaran, ketidaktentuan ekonomi global dan asakan politik dalaman, kerajaan Tuanku memilih untuk berjiwa besar, berdiri tegak dan terus mara melangkah memacu kejayaan.

"Sebab itu pada hemat patik, kita mesti menolak mana-mana individu atau kumpulan yang sering menabur fitnah, mentohmah dan menyebarkan propaganda termasuklah yang mengamalkan poliltik kebencian sehingga tergamak memecah-belahkan masyarakat dan melanggar perlembagaan," kata Najib.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sembah tahniah kepada Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Perdana menteri berkata tiada perkara yang lebih mustahak dalam kepimpinan sesebuah negara melainkan untuk mewujudkan keamanan dan keselamatan.

Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan tidak pernah alpa terhadap hal-hal keselamatan negara, termasuklah tragedi serangan pencerobohan mahupun tuntutan yang menganggu-gugat keamanan negara.

"Baru-baru ini dalam lawatan rasmi ke Sabah, pihak kerajaan dengan tegasnya membuat kenyataan berhubung tuntutan terhadap Sabah bahawa perkara ini dari segi undang-undang antarabangsa adalah sangat jelas.

"Tiada siapa pun boleh mempertikaikan lagi bahawa Sabah adalah dalam Malaysia dan perkara ini dianggap sebagai 'non-issue'," kata Najib.

Perdana menteri turut berkongsi kejayaan BN yang memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, pada 7 Mei lepas, dengan memperoleh 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Najib berkata mandat kejayaan itu mencerminkan keyakinan dan kepercayaan rakyat Sarawak terhadap kepimpinan kerajaan BN yang bernaung di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam ucapan itu, perdana menteri turut berkongsi mengenai Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), yang kini dikenali sebagai Program Transformasi Negara (NTP), yang bernaung di bawah Dasar Transformasi Nasional.

"Antara yang dilaporkan adalah lima petunjuk utama pencapaian GTP dan ETP sepanjang enam tahun lepas dari tahun 2009 iaitu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), disiplin fiskal, pendapatan negara kasar per kapita dan lebihan dagangan.

"...dan hakikatnya segala apa yang dicapai Malaysia melalui usaha tanpa jemu kerajaan, bukanlah sesuatu yang sewenang-wenangnya dapat dinafikan sesiapa kerana telah mendapat pengiktirafan pihak pemiawai di peringkat antarabangsa dan disahkan juruaudit-juruaudit bertauliah," katanya.

Najib berkata melalui laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara, KDNK pada suku pertama tahun ini tetap berjaya mencatat perkembangan sebanyak 4.2 peratus meskipun berdepan situasi ekonomi semasa dan kesuraman ekonomi global.

Mengenai usaha berterusan kerajaan bagi menangani kos sara hidup rakyat, beliau berkata pada tahun ini kerajaan menyasarkan untuk membina 100,000 unit rumah mampu milik di bawah projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

"Sehingga Mei lalu, sebanyak 82,012 unit PPA1M diluluskan dan pada bulan ini 24,000 lagi unit PPA1M akan dilaksanakan di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu Najib berkata secara peribadi dan atas kapasiti sebagai pemimpin, beliau berasa bertuah kerana Yang di-Pertuan Agong menaungi dua era pemerintahan iaitu pada zaman Allahyarham bapa beliau sendiri, Tun Abdul Razak Hussein serta kini, dalam tempoh kepimpinannya sebagai perdana menteri.

"Kita berasa bertuah kerana dikurniakan Raja yang sangat berpengalaman dan telah menyaksikan perjalanan Malaysia dalam pelbagai kapasiti diri baginda terutama sebagai seorang anak raja, Raja Muda, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan tentunya dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Najib berkata masa bergerak begitu pantas di mana ulang tahun Tuanku Abdul Halim yang disambut penuh istiadat untuk kali ke-lima hari ini, merupakan tahun terakhir bagi penggal pemerintahan kali kedua Seri Paduka.

- Bernama