Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib lebih teruk dalam buku berwarna, kata Dr M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau terkejut dengan buku mewarna dihasilkan aktivis Fahmi Reza yang memaparkan wajah beliau.

Sebaliknya, Mahathir menegaskan bahawa penggantinya Datuk Seri Najib Razak lebih teruk digambarkan dalam buku mewarna itu.

"Mereka boleh lakukan apa yang mereka suka," katanya ketika ditanya bagaimana dia merasakan tentang cara dia digambarkan dalam buku tersebut.

"Kamu lihat Najib. Lebih teruk lagi. Kamu lihat dia tersenyum dan bahagian-bahagian tubuhnya terdedah. Kamu tanya kepadanya bagaimana dia rasakan?" soalnya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Buku mewarna Fahmi bertajuk 'Mari Mewarna ABC politikus Malaysia' itu memperolok ahli-ahli politik di kedua-dua belah blok politik.

Mahathir di dalam buku itu digambarkan sebagai 'D untuk diktator', bersama-sama wajahnya sambil menunjukkan jari tengah.

Sementara itu, Najib muncul dalam buku itu di bawah tajuk 'K untuk Koruptor', bersama dengan karikatur beliau dengan mulut dan tangan kirinya menunjuk ke atas seolah-olah sedang memberi ucapan berapi-api.

Fahmi menghasilkan buku itu kira-kira setahun lalu daripada idea-idea di Facebook, di mana beliau meminta idea daripada peminatnya bagaimana ahli politik boleh ditampilkan bagi setiap satu daripada 26 huruf.

Semalam, aktivis merangkap pelukis itu berkata beliau telah menghampiri Mahathir semasa satu majlis di Kuala Lumpur untuk menunjukkan kepadanya buku itu.

"Masa majlis pelancaran buku terbaru Mahathir, aku naik pentas untuk bagi dia satu naskah buku mewarna aku.

"Aku kata, 'Ini buku mewarna ABC Politikus Malaysia'. Mula-mula dia senyum. Tapi masa aku serahkan buku tu, aku buka mukasurat "D untuk diktator" yang dihiasi dengan lukisan wajah dia yang tengah tunjuk middle finger (Jari tengah).

"Dia speechless tak kata apa-apa, tapi aku boleh dengar bunyi dengusan disapproval (Tak bersetuju) dari dia," tulisnya.

Bagaimanapun, Mahathir memberitahu pemberita hari ini bahawa beliau tidak terkejut sama sekali dengan tindakan Fahmi.

"Saya tidak terkejut atau apa-apa. Saya telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan orang telah berkata pelbagai perkara mengenai saya - rasuah, dan ini...

"Saya tak peduli," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS