Setinggan Sungai Udang akan pohon perintah mahkamah
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut akan memohon perintah mahkamah untuk menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada merobohkan rumah mereka.
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut akan memohon perintah mahkamah untuk menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada merobohkan rumah mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan tersebut minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Kita sudah mendapat persetujuan daripada 30 keluarga setinggan Kampung Sungai Udang yang mahukan tindakan mahkamah itu disegerakan. Bagaimanapun, masalah kewangan menyebabkan ia tertangguh sementara.
"Buat masa ini penduduk yang terlibat sedang mengumpul wang berjumlah RM350 sekeluarga untuk kos membuat permohonan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Malaysiakini difahamkan, Ketua Pemuda Keadilan (PKR), Ezam Mohd Noor telah berjanji kepada penduduk terbabit untuk mencari peguam yang hanya mengenakan bayaran separuh daripada jumlah penuh kira-kira RM12,000.
Penduduk terbabit mengambil keputusan itu selepas menerima surat DBKL yang mengarahkan setinggan Kampung Sungai Udang berpindah selewat-lewatnya 8 Mac lalu bagi melaksanakan projek tambatan di kawasan itu.
Perbincangan antara penduduk dengan Menteri Pembangunan Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Samad, supaya menangguhkan arahan pemindahan itu baru-baru ini, juga gagal .
Lepas tangan
Mohamad berkata, beberapa pemimpin PKR, termasuk Ketua Penerangannya Tian Chua dan beberapa pemimpin pemuda parti itu, telah cuba membantu setinggan di Kampung Sungai Udang.
Sebaliknya, Mohamad mendakwa, pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Ahli Parlimen Segambut, Dr Tan Kee Kwong dan Ketua Umno Segambut Datuk Kamaruddin Ambok telah mengambil sikap 'lepas tangan'.
"Tan mendakwa mereka tidak boleh menolong penduduk setinggan Kampung Sungai Udang kerana ia tiada kena mengena dengan Gerakan. Kamaruddin pula mahu setinggan meminta maaf kepadanya terlebih dahulu jika mahukan pertolongannya," katanya.
Mohamad mendakwa, Kamaruddin marah kerana penduduk terbabit telah mendapatkan bantuan pembangkang terutama PKR bagi mendapatkan rumah pangsa kos rendah di Taman Cuepacs.
Menurutnya lagi, penduduk setinggan Kampung Sungai Udang akan terus tinggal di kawasan penempatan tersebut meskipun pihak DBKL datang merobohkan rumah mereka.
Katanya, penduduk sepakat menuntut DBKL memberikan mereka rumah Taman Cuepacs di Segambut sebagai syarat utama untuk mereka meninggalkan Kampung Sungai Udang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.