Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nizar salahkan media, mohon maaf pada keluarga Mastura
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 12:57 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menyalahkan media arus perdana dan media sosial kerana didakwa memetik ucapannya di luar konteks sehingga menyinggung perasaan keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

"Saya tegaskan ia dipetik di luar konteks keseluruhan ucapan ceramah tersebut.

Saya tidak berniat sama sekali menghina atau berandaian negatif kepada mana-mana pihak khususnya kaum keluarga Allahyarham," katanya pada kenyataan media hari ini.

Nizar berkata, dalam ceramah yang diadakan pada 7 Jun itu, beliau turut meminta hadirin membaca surah al-fatihah untuk disedekahkan kepada Allahyarham bekas ahli parlimen Kuala Kangsar itu.

"Saya juga dengan panjang lebar telah mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta dikurniakan kesabaran dan kekuatan kepada seisi keluarga (Saya sebut isteri serta anak-anak Allahyarham) serta menerima dengan redha hati di atas ketentuan dan takdir Allah SWT.

"Sebagai seorang suami dan bapa, saya juga dapat menjiwai serta merasakan kesedihan yang teramat sangat yang ditanggung seisi keluarga Allahyarham kerana kehilangan seorang suami dan ayah kepada anak-anak Allahyarham.

"Namun laporan media sosial keesokannya telah sengaja membuat telahan serta tomahan dan andaian yang salah dan jauh terbabas daripada niat dan maksud sebenar," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau memohon maaf jika laporan tidak tepat oleh media sosial dan cetak itu menyebabkan rasa terguris hati, terhina atau apa saja perasaan tidak senang kepada semua pihak.

"Dalam semangat dan roh Ramadan al-Mubarak ini saya yang juga seorang suami dan bapa menghulur sepuluh jari memohon sepenuh kemaafan yang jitu kepada isteri, anak-anak, seluruh kaum keluarga Allahyarham serta pucuk pimpinan kawasan, negeri dan pusat.

"Permohonan kemaafan tidak bersyarat ini adalah tanda keluhuran hati saya yang amat bersimpati atas ketentuan dari Allah SWT yang menimpa keluarga Allahyarham," katanya.

Nizar dalam ceramahnya di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, 6 Jun lalu berkata Allah memilih pilihan raya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar kerana sebab tersirat.

Katanya, selepas difikirkan mendalam, beliau mengaitkan insiden itu dengan 'kebiadapan' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.

“Kebiadapan Najib dan Zahid merampas kerajaan Perak ini di bumi Kuala Kangsar, maka Allah jadikan di bumi ini juga pilihan raya kecil terpaksa diadakan.

“(Ini) supaya orang Kuala Kangsar mengajar mereka kerana kamu kurang ajar kepada pilihan rakyat, kamu berlaku jahat, zalim kepada rakyat Perak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS