Keretapi Tanah Melayu (KTM) memecat operator wanitanya yang didakwa bersikap kasar terhadap beberapa anggota kumpulan Independent Living & Training Centre Malaysia (ILTC).
"Saya sudah tamatkan operator itu, gantikan beliau dengan orang lain untuk bekerja di sana," kata Nor Azni Ibrahim, seorang wakil daripada Persatuan Kebajikan Khairat Kematian KTM.
Beliau mengulas bantahan ILTC di KTM Rawang pada Selasa atas layanan buruk kakitangannya dan tandas kurang kurang upaya (OKU) tidak boleh diakses.
Beliau berkata pihak pengurusan KTM telah memberi amanah kepada Persatuan Kebajikan Khairat Kematian untuk menangani pelbagai perkara termasuk tender untuk operasi tandas di stesen Rawang dan Kuang.
"Tandas hanya boleh digunakan untuk jangka masa pendek. Kami akan sediakan air di dalam untuk orang kurang upaya gunakan kerana tekanan air masih belum dibetulkan," kata Nor Azni.
Beliau mengakui bahawa mereka tidak mempunyai bajet untuk membaiki tandas itu buat masa ini.
Nor Azni berkata beliau tidak berpuas hati dengan kumpulan itu yang didakwa membuang barang yang disimpan di dalam tandas.
"Golongan OKU itu membuat banyak permintaan. Awak lihat dari gambar, mereka buang barang-barang saya, semua sabun dicampak keluar," katanya.
"Mereka memprovokasi operator saya sehingga dia melarikan diri dan bertanya kepada mereka apa lagi yang mereka mahu. Mereka kata mereka mahu ambil gambar.
"Oleh itu, operator saya setuju dan benarkan mereka ambil gambar bahagian belakang dia," katanya.
Pada 7 Jun, Presiden ILTC Francis Siva mendakwa kakitangan KTM itu bertindak kasar kepada salah seorang ahli organisasi terbabit.
Beliau berkata, operator wanita itu berbuat demikian apabila wakil-wakil organisasi itu meminta dia membuka tandas orang kurang upaya itu pada 6 Jun.
Mereka melawat stesen itu pada Isnin berikutan aduan mengenai tandas itu daripada individu yang menggunakan kerusi roda.
Jurucakap pengurusan KTM tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
