Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP dakwa Akta MKN curi kuasa Raja-Raja Melayu
Diterbitkan:  Jun 9, 2016 6:40 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mendakwa Akta Majlis Keselamatan Negara adalah ‘Akta Derhaka’ kerana ia diwartakan pada Selasa lalu tanpa mengambil peduli titah Majlis Raja-raja supaya rang undang-undang itu diperhalusi kandungannya.

“Akta ini dilulus tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong. Akta ini adalah simbol penderhakaan Umno yang telah mencuri kuasa Raja-raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut warta yang disiarkan itu, rang undang-undang tersebut diperkenankan pada 18 Februari lalu, sehari selepas Majlis Raja-Raja melahirkan kebimbangan dan meminta ia diperhalusi.

Perkenan itu dibuat berdasarkan Fasal 4A Perkara 66, Perlembagaan Persekutuan.

Ia memperuntukan mana-mana rang undang-undang secara automatik menerima perkenan jika Yang di-Pertuan Agong tidak berbuat demikian dalam masa 30 hari dari tarikh ia dikemukakan kepada baginda.

Malaysiakini telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri mengenai perkara itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

Rang undang-undang MKN dikritik kerana ia antara lain membolehkan penguat-kuasaan darurat di kawasan keselamatan yang diisytiharkan oleh majlis itu yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Mengulas lanjut, Lim mempersoalkan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberikan maklum balas kepada Majlis Raja-Raja berhubung kebimbangan baginda.

“Rakyat berhak tahu sama ada kerajaan BN telah menerima atau menolak nasihat Majlis Raja-Raja berhubung akta tersebut, apabila Akta Majlis Keselamatan Negara diwartakan menjadi undang-undang tanpa perkenan Diraja.,” katanya.

Lim berkata bahawa akta itu juga akan membolehkan MKN yang terdiri daripada anggota yang dilantik oleh perdana menteri, untuk menggunakan angkatan tentera.

Beliau berkata ini bertentangan dengan konsep bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua turus angkatan bersenjata.

“MKN Umno kini dapat menggunakan kuasa-kuasa darurat tanpa perlu perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong mahupun kebenaran Parlimen.

“Jika ada yang terkorban dalam operasi-operasi yang diperintahkan oleh MKN Umno ini, boleh berlaku tidak perlu dijalankan sebarang siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, Lim menggesa pengundi pada pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk mengambil tahu tentang perkembangan ini apabila mengundi pada 18 Jun nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS