Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ali Bukhari dinasihat hasilkan tulisan yang pro-kerajaan

Terjemahan Universiti Sains Malaysia (USM) telah meminta pelajar tahun akhir jurusan Komunikasi yang sedang disiasat berhubung lamanwebnya dan kerana menubuhkan persekawanan penulis supaya memanfaatkan bakat menulisnya untuk menghasilkan tulisan yang pro-kerajaan.

Universiti itu bimbang, Ali Bukhari Amir, 28, akan dieksplotasi oleh pertubuhan media yang tidak pro-kerajaan.

Ali diberitahu demikian sewaktu dia dipanggil oleh jawatankuasa yang menyiasat kesnya semalam. Dia juga disoal mengenai objektifnya menubuhkan persekawanan penulis tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut mengakui bakatnya menulis dan menggesanya supaya menulis mengenai isu-isu yang pro-kerajaan.

"Awak ada bakat menulis, tetapi kenapa asyik-asyik ke haluan kiri?" adalah antara soalan yang dikemukakan kepadanya sewaktu mesyuarat kira-kira sejam itu.

Malah, katanya, jawatankuasa tersebut juga menawar untuk mendapatkan kerjanya untuknya di media yang pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia dan Kosmo.

Siasat harta kakitangan univerisiti

Dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu, Ali telah memberitahu jawatankuasa tersebut bahawa dia mewujudkan lamanwebnya sendiri untuk menyangkal dakwaan terhadapnya dalam lamanweb idealis-mahasiswa.net.

Bagaimanapun, Ali Bukhari dipanggil sekali lagi oleh jawatankuasa tersebut apabila lamanwebnya memfokuskan kepada laporan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap 128 kakitangannya.

Ali mencadangkan supaya pihak berkuasa menyiasat semua universiti untuk menentukan berapa banyak aset yang dimiliki oleh kakitangannya.

Ali juga memberitahu jawatankuasa itu semalam, walaupun jika dia memohon untuk mendaftar penubuhan persekawanan penulis itu dengan jabatan halehwal pelajar, ia pastinya ditolak sepertimana yang pernah berlaku kepada pelajar lain.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut mencadangkan supaya Ali mengemukakan permohonannya untuk berbuat demikian.

Dalam mesyuarat pada 23 Februari lalu, Ali Bukhari diminta supaya memberi penjelasan bertulis mengenai motifnya mewujudkan lamanweb tersebut dan juga disoalsiasat mengenai bayaran yang diterimanya bagi tulisannya di media lain.

Sebelum ini, Ali pernah dipanggil oleh pihak universiti apabila tulisannya disiarkan dalam lidah rasmi sebuah parti pembangkang yang menyentuh mengenai amalan politik berat sebelah di kalangan pelajarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS