Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Felcra akui ambil alih pembiayaan projek tapi nafi perjanjian pejabat percuma
Diterbitkan:  Jun 10, 2016 8:46 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) hari ini mengakui mengambil alih pembiayaan projek pembangunan campuran Menara Felcra dari WZR Property Sdn Bhd.

Walau bagaimanapun, ia menafikan bahawa terdapat perjanjian awal bahawa Felcra dijanjikan akan mempunyai sebuah ibu pejabat baru tanpa perlu membayar satu sen pun.

“Oleh kerana itu tohmahan bahawa Felcra mendapat menara pejabat dan pusat konvension secara percuma adalah tidak benar sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini pada Selasa lalu yang memetik surat daripada Menteri Kewangan Diperbadankan bertarikh 18 Feb 2015 melaporkan permohonan Felcra Bhd untuk melaksanakan pembangunan bercampur dengan kos RM550 juta yang akan dimajukan oleh WZR telah diluluskan.

Ia adalah bagi pembinaan sebuah menara pejabat 34 tingkat dan sebuah menara kediaman 43 tingkat di kawasan utama di sepanjang Jalan Semarak dan sebagai pertukaran, WZR akan memberikan Felcra ruang pejabat 12 tingkat serta dewan bankuet.

Menurut kenyataan Felcra itu, rancangan awal adalah untuk WZR membiayai projek berkenaan tetapi ia kemudiannya memutuskan bahawa anak syarikat milik penuhnya Felcra Properties Sdn Bhd (FPSB) akan mengambil alih tanggungjawab itu.

Walaupun Felcra menafikan perjanjian itu membabitkan sebarang ruang pejabat secara percuma, ia tidak menjelaskan apa pulangan kepada Felcra jika rancangan asal diteruskan dengan WZR membiayai projek tersebut sendiri.

“WZR pada mulanya dilantik sebagai kontraktor reka, bina dan biaya untuk pembangunan di Jalan Semarak, milik Felcra.

“Setelah kajian dibuat dengan konsep reka, bina dan biaya yang dicadangkan oleh pihak WZR, didapati ia akan memberi impak dari segi kos faedah kepada Felcra.

“Maka pihak MKD telah memberi pandangan dan nasihat supaya ahli lembaga pengarah mengkaji balik konsep tersebut dan melihat kesan dan kos kewangan sekiranya berlaku kelewatan dari segi penjualan unit residen dan komersil,” katanya.

Felcra juga berkata dakwaan bahawa kontraktor mempunyai masalah kewangan adalah tidak benar kerana pihak pengurusan telah membuat penilaian secara terperinci.

“Pemilihan WZR sebagai kontraktor dibuat berdasarkan, antara lain keupayaan kewangan syarikat, kepakaran dan pengalaman dalam pembinaan,” katanya.


Berikut disiarkan kenyataan penuh itu

Projek hartanah Jalan Semarak merangkumi pembinaan menara pejabat, pusat konvension, menara residen dan unit/lot komersial. Menara residen dan unit komersial dirancang untuk dijual sepenuhnya manakala menara pejabat dan pusat konvension digunakan untuk kegunaan Felcra.

Buat masa ini Felcra tidak berhajat untuk menjual mana mana unit menara pejabat atau pusat konvension.

Keseluruhan pembangunan hartanah Felcra di Jalan Semarak dimajukan oleh Felcra Properties Sdn Bhd (FPSB), sebuah anak syarikat milik penuh Felcra Berhad dan Felcra tidak pernah melantik mana mana pemaju lain sehingga kini.

Oleh itu, kenyataan bahawa projek pembinaan ini diambil alih oleh FPSB tidak sepatutnya menjadi isu kerana FPSB merupakan anak syarikat milik penuh Felcra Berhad.

Fakta 1

Felcra sememangnya melantik WZR Property Sdn Bhd (WZR) sebagai kontraktor dan bukannya pemaju dari mula surat tawaran dikeluarkan kepada pihak WZR.

Perlantikan WZR sebagai kontraktor tidak pernah berubah sehingga ke hari ini.

Felcra perlu membayar kesemua kos pembinaan kepada pihak kontraktor setelah pembinaan bangunan bangunan ini siap kelak.

Oleh kerana itu tohmahan bahawa Felcra mendapat menara pejabat dan pusat konvension secara percuma adalah tidak benar sama sekali.

Fakta 2

Pemilihan WZR sebagai kontraktor dibuat berdasarkan, antara lain keupayaan kewangan syarikat, kepakaran dan pengalaman dalam pembinaan.

Tohmahan bahawa kontraktor mempunyai masalah kewangan adalah tidak benar sama sekali kerana pihak pengurusan Felcra telah membuat penilaian secara terperinci mengenai keupayaan kesemua syarikat syarikat yang menyertai pembidaan untuk membuat kerja kerja pembinaan bangunan di Jalan Semarak.

Fakta 3

WZR pada mulanya dilantik sebagai kontraktor reka, bina dan biaya untuk pembangunan di Jalan Semarak, milik Felcra, dengan nisbah plot 1:5 dan nilai kontrak sebanyak RM520 juta (dan bukan RM550 juta seperti yang didakwa), manakala nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM850 juta.

Namun selepas mendapat kelulusan perintah pembangunan dari DBKL, nisbah plot telah meningkat kepada 1:6 dan bagi memaksimakan kegunaan tanah, cadangan pembangunan telah dikemaskini di mana nilai pembangunan kasar meningkat kepada RM1.1 billion dan kos pembangunan kepada RM687.5 juta.

Pertambahan kos pembangunan adalah disebabkan kenaikan nisbah plot dan ini memberikan pulangan nilai yang lebih kepada Felcra.

Fakta 4

Oleh kerana terdapat perubahan nisbah plot dari 1:5 kepada 1:6, maka pihak Pengurusan perlu membawa perkara ini kembali kepada Ahli Lembaga Pengarah Felcra untuk dibincang secara terperinci dan untuk mendapatkan kelulusan kerana terdapat perubahan nilai pulangan dan pertambahan kos pembinaan.

Di samping itu juga pihak Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah meminta supaya Felcra mendapatkan khidmat Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT), untuk mengkaji kos pembangunan menara pejabat, menara residen dan lot/unit komersial dan pihak PBLT telah membuat laporan terperinci, dimana mereka mendapati kos pembinaan dan pembangunan keseluruhan adalah berpatutan.

Fakta 6

Setelah kajian dibuat dengan konsep reka, bina dan biaya yang dicadangkan oleh pihak WZR, didapati ia akan memberi impak dari segi kos faedah kepada Felcra, maka pihak MKD telah memberi pandangan dan nasihat supaya Ahli Lembaga Pengarah mengkaji balik konsep tersebut dan melihat kesan dan kos kewangan sekiranya berlaku kelewatan dari segi penjualan unit residen dan komersil.

Setelah mengambil kira pandangan dan nasihat MKD, untuk mengkaji semula secara terperinci keseluruhan pembangunan projek ini, Ahli Lembaga Pengarah bersetuju untuk mencadangkan kembali kepada pihak pemegang saham iaitu MKD, supaya kontrak diberikan kepada WZR secara reka dan bina sahaja dengan kos tidak melebihi RM687.5 juta dimana Felcra akan membuat bayaran kepada kontraktor secara interim mengikut kemajuan kerja.

Konsep pembiayaan ini (project finance) adalah perkara biasa dalam mana mana projek pembinaan.

Fakta 7

Perkara ini telah diangkat kepada MKD selaku pemegang saham untuk mendapatkan kelulusan dan pada 12 April 2016 MKD telah meluluskan perubahan perubahan pembangunan Jalan Semarak tersebut.

Kesemua cadangan cadangan perlantikan kontraktor dan perubahan perubahan terma telah dibentangkan dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah dan seterusnya dipersetujui oleh pihak Kementerian Kewangan dan dimaklumkan kepada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS