Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ISMA mahu warga Israel tipu pasport disenarai hitam
Diterbitkan:  Jun 13, 2016 3:25 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa supaya seorang warga Israel, Rudy Rochman disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selepas melakukan penipuan untuk masuk ke negara ini beberapa hari lalu.

“Rudy Rochman mesti diharamkan masuk ke negara ini atas pasport apa pun selepas ini.

"Bukan sahaja kerana dia rakyat Israel, bahkan kerana dia membuat kenyataan provokasi terhadap kedaulatan undang-undang negara,” kata Ketua Penerangan ISMA Mohd Hazizi Ab Rahman seperti dilapor Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perbuatan Rochman yang memasuki negara ini ketika transit selama 12 jam sebelum berlepas ke Sri Lanka,

Rochman mengakui memiliki pasport Perancis untuk memasuki Malaysia berikutan syarat ketat dikenakan kerajaan terhadap kemasukan warga Israel.

Mengulas lanjut, Hazizi berkata tindakan Rudy itu menunjukkan Israel terdesak mendapatkan sokongan antarabangsa berhubung penjajahannya terhadap bumi Palestin.

“Cuba untuk meraih simpati atas nama diskriminasi, tetapi lupa hakikat mereka menjajah bumi Palestin dan membunuh ribuan umat Islam di sana saban tahun.

“Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat. Negara ini boleh tetapkan apa sahaja undang-undang, termasuk isu hubungan dengan Israel,” katanya dipetik portal berkenaan.

Mengenai hubungan diplomatik dengan Israel, Hazizi berkata, sekiranya ada sebarang hubungan dengan negara itu, ia juga memberi maksud Malaysia setuju dengan pembantaian rakyat Palestin oleh Israel.

Rochman sebelum ini menyiarkan gambarnya datang ke Malaysia di Facebook dengan berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Gambar tersebut menjadi viral dan turut disiarkan beberapa buah blog.

"Gambar ini diambil di Kuala Lumpur, Malaysia, di mana rakyat Israel dilarang masuk kerana kewarganegaraan mereka. Beribu-ribu orang Israel pergi ke Asia setiap tahun kerana khidmat tentera mewajibkan mereka mengalami dan belajar daripada budaya yang berbeza.

"Bagaimanapun, Malaysia telah memutuskan untuk mengharamkan semua permit masuk bagi rakyat Israel," katanya.

Dalam kenyataannya, Rochman juga berkata beliau berusaha keras memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport Perancis bagi memberikan kesedaran mengenai pengharaman itu.

"Walaupun saya tidak bercadang datang ke Malaysia, saya merasa perlu untuk mengambil gambar ini dalam 12 jam transit saya ke Sri Lanka untuk meningkatkan kesedaran mengenai perkara itu.

"Walaupun beberapa rakyat Malaysia menyokong Israel secara rahsia, kerajaan dan penduduk mereka terus membenarkan pengharaman perjalanan rakyat Israel. Jika anda tidak tahu ini, sila kongsi supaya orang lain mungkin sedar sikap tidak bertoleransi tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS