Cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama dihantar pada kjaan
Terjemahan Cadangan mengenai penubuhan suruhanjaya antara agama, dan rang undang-undang penubuhannya, telah dikemukakan kepada pihak kerajaan, kata pengerusi jawatankuasa pemandunya, Malik Imtiaz Sarwar.
Katanya, salinan rang undang-undang itu, bersama kenyataan pleno serta lampiran-lampiran berkenaan, telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak serta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Salinannya juga dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili (perpaduan nasional) dan Datuk Dr Abdullah Md Zin (hal-ehwal agama Islam).
"Kami menyertakan bersama surat memohon untuk mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri yang berkenaan untuk membincangkan cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama itu," kata Malik Imtiaz yang juga seorang peguam, ketika dihubungi.
Kenyataan pleno itu dihantar sebagai penyataan masyarakat madani Malaysia mengenai inisiatif antara agama, hasil daripada persidangan kebangsaan selama dua hari yang dihadiri lebih 200 peserta untuk membincangkan rang undang-undang tersebut, hujung bulan lalu.
Cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama itu diselaraskan oleh jawatankuasa kecil hak asasi manusia Majlis Peguam, selepas mengadakan bengkel mengenai inisiatif itu pada tahun 2003.
Walaupun persidangan tersebut telah diboikot oleh badan-badan Islam bukan kerajaan (NGO), tetapi ia turut dihadiri oleh individu-individu Islam dan perwakilan dari badan agama-agama lain.
Sebelum itu, jawatankuasa pemandu mengenai penubuhan suruhanjaya antara agama itu telah berulang kali menjemput NGO Islam itu supaya turut menyertai persidangan tersebut, tetapi tidak berhasil.
Usaha gagal
Turut menentang penubuhan suruhanjaya tersebut ialah Jawatankuasa Penyelaras Gabungan NGO Islam (Accin) atas alasan ianya melanggar sistem pentadbiran Islam yang sedia ada.
Pelbagai usaha untuk berbincang dengan mereka yang menentang penubuhan suruhanjaya itu, juga tidak berhasil.
Dalam satu kenyataan akhbar bertarikh 7 Mac lalu, pengerusi baru Accin, Zaid Kamaruddin berkata pendirian jawatankuasa tersebut dibuat selepas mendengar dan mengikuti cadangan tersebut.
"Sebelum tahun 2003, Accin mempunyai wakil dalam jawatankuasa penaja yang menganjurkan bengkel tersebut (di bawah Majlis Peguam)," katanya.
Zaid menjawab gesaan beberapa pihak, termasuk Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika merasmikan persidangan itu, supaya didengar terlebih dahulu penjelasan apa yang hendak dikatakan oleh pihak penganjur penubuhan suruhanjaya tersebut.
Bagaimanapun, selepas itu, katanya, wakil Accin mendapati jawatankuasa penaja itu mempunyai "agenda tersembunyi" untuk menghakis ajaran Islam.
Beliau percaya, cadangan penubuhan suruhanjaya itu berniat untuk menjadi badan anti-Islam, yang diusahakan oleh "anasir-anasir tertentu, dengan berselindungkan kebebasan agama, ajaran fundamental Islam tertentu, misalnya, mengenai soal murtad".
Accin, katanya dalam kenyataan tersebut, juga telah menasihatkan mereka yang menyokong penubuhan suruhanjaya itu bahawa "memandangkan adanya niat untuk mencampuri hal-ehwal agama Islam, maka (suruhanraya) itu akan membahayakan, dan bukannya untuk menjamin keharmonian masyarakat".
Menurutnya lagi, Accin juga telah menyatakan syarat-syarat pernyertaan berterusannya dalam jawatankuasa penaja tersebut iaitu ia turut dianggotai badan-badan utama Islam dan ia hanya membincangkan soal-soal antara agama, dan bukannya hal-ehwal dalaman agama.
Accin juga, katanya, telah menegaskan kepada jawatankuasa penaja itu bahawa hak mengamalkan agama seseorang itu tidaklah sehingga sampai mencampuri urusan agama orang lain.
Zaid yang juga presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) berkata, beberapa badan Islam yang lain, turut menarik diri di peringkat lebih awal lagi, berikutan keputusan pihak penganjur menolak pandangan Accin itu.
Beliau menamakan mereka sebagai Dr Chandra Muzaffar, Sisters in Islam (SIS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). SIS kemudiannya menyertai semula jawatankuasa penaja itu.
Berikutan perkembangan-perkembangan tersebut, maka katanya, adalah tidak adil untuk menuduhkan Accin tidak mendengar penjelasan mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya itu, kerana tidak menghadiri persidangan tersebut.
Katanya, memandangkan pandangan Accin tidak diambil peduli atau dipertimbangkan, maka pihaknya tidak menghadiri bengkel (2003) dan persidangan tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, pihak penganjur mahukan kehadiran Accin semata-mata hanya untuk memastikan kejayaan persidangan tersebut.
Beliau turut menyebut mengenai dialog antara agama yang telah sekian lama diadakan, termasuk yang berbabitkan Inter Faith Spiritual Fellowship, Malaysian Interfaith Network and FIRE, sebuah badan yang ditubuhkan oleh Gereja St Francis Xavier di Petaling Jaya.
FIRE, katanya, sering mengadakan dialog antara agama yang turut membabitkan ahli-ahli Accin sejak bertahun-tahun yang lalu.