Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan tunggu lama-lama, nanti dia diambil orang

ULASAN Kenyataan saya bertarikh 10 Mei 2016 mengharapkan pembangkang menyarankan PAS dan AMANAH berunding untuk memastikan agenda satu lawan satu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang menjadi hasrat rakyat Malaysia untuk mengalahkan Umno BN.

Namun hasrat saya itu ditolak oleh pimpinan PAS atas alasan tiada kerjasama dengan pengkianat.

Kini dengan kenyataan ketua pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz barulah saya faham kedudukan sebenar.

Nik Abduh yang menekankan PAS bukan sahaja berniat tetapi berazam untuk bersatu dengan Umno.

Ini bermakna usaha telah, sedang dan terus dilakukan oleh PAS bagi merealisasikan niat dan azam untuk memastikan PAS dan Umno bersatu menjadi kenyataan.

Saya percaya pertemuan, perbincangan dan perundingan dua belah pihak telah diadakan. Walaupun berkali-kali dinafikan oleh pimpinan PAS, tetapi dengan kenyataan Nik Abduh cukup meyakinkan cuma keberanian berterus terang sahaja yang masih diselubungi dengan ketakutan.

Saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang menunjukkan usaha ke arah itu digerakkan.

Saya percaya Nik Abduh mempunyai keberanian luar biasa berbanding dengan pimpinan PAS yang lain.

Sikap suka berterus terang dan tidak suka berselindung dalam tindak tanduknya dan PAS menjadikan kepimpinan Nik Abduh dipuji dan disenangi oleh ahli PAS dan pimpinan Umno.

Apa yang dinyatakan oleh Nik Abduh tidak boleh dianggap itu pendapat peribadi kerana Nik Abduh dipercayai terlibat mewakili PAS dalam perbincangan penyatuan dengan Umno sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Penyatuan tanpa ketentuan

Persoalannya sampai bila PAS dan Umno akan bermain dengan kenyataan penyatuan tanpa ketentuan.

Tidak cukup sekadar berbalas kenyataan menyambut baik penyatuan sedangkan tiada keberanian yang nyata.

Saya faham penyatuan yang dimaksudkan bukanlah menyertai atau bergabung dengan Umno tetapi sudah pasti yang dimaksudkan ialah kerjasama politik dan dakwah yang memerlukan satu ikatan janji yang konkrit untuk kelangsungan kuasa politik Melayu Islam dipertahankan.

Inilah yang ditegaskan oleh Presiden PAS bahawa 40 peratus orang bukan Islam tidak boleh menguasai 60 peratus orang Islam apabila memberikan amaran supaya DAP menghentikan usaha menguasai pemerintahan.

Saya pun tak tahu bila pula DAP yang hanya bertanding tak lebih 60 kerusi Parlimen mampu menjadikan Cina menguasai Malaysia.

Tak apalah mungkin itu satu amaran dan peringatan.Tetapi selepas PAS mengambil jalan meninggalkan rakan pembangkang sewajarnya PAS dan Umno tidak boleh lagi membiarkan kedua-dua parti ini berebut pengaruh undi di kalangan pengundi Melayu Islam tetapi sebaliknya perlu berkongsi sokongan pengundi Melayu untuk survival parti dan kuasa politik Melayu Islam. Soalnya bila mahu dimulakan.

Dimulakan di dua PRK

Pada saya sebaiknya dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai medan permulaan untuk penyatuan apa yang sering disebut demi kuasa politik Melayu Islam.

Oleh itu bagi saya masih belum terlambat sebelum hari mengundi awal pada Selasa 14 Jun atau hari mengundi pada 18 jun untuk kedua dua parti PAS dan Umno BN membuat kesepakatan yang terang dengan mengorbankan satu kerusi PRK yang ditandingi kali ini.

Contohnya PAS membuat pengisytiharan menarik diri dan melepaskan kerusi Sungai Besar untuk Umno BN terus berlawan dengan AMANAH dan menggerakkan pengundi PAS untuk mengundi dan menangkan calon Umno BN.

Manakala Umno BN menarik diri serta melepaskan kerusi Kuala Kangsar kepada PAS untuk berlawan dengan AMANAH dan mengerakkan pengundi BN mengundi dan menangkan calon PAS.

Ini akan lebih mudah difahami daripada isyarat-isyarat yang sukar kepada pengundi. Dan ini akan lebih menguntungkan daripada kedua dua parti terus berlawan yang berkemungkinan ada parti tak menang langsung pada PRK ini.

Kata Ramli Sarip Papa Rock bersama kumpulan Sweet Charity 'Jangan tunggu lama-lama nanti lama-lama dia diambil orang'.

Hanya ketakutan Pimpinan PAS dan Umno sahaja yang menghalang cadangan saya untuk PRK ini.

Mungkin selepas PRK mereka kena berniat dan berazam buang ketakutan untuk bersatu.


MAHFUZ OMAR Ahli Parlimen Pokok Sena

Lihat Komen
ADS