Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib umum era Mahathir dalam Proton sudah berakhir

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebelum ini terdapat campur tangan politik dalam Proton Holdings Berhad (Proton) ketika era bekas pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, kini zaman Tun Mahathir telah berakhir dan firma kereta nasional itu belajar dari kesilapan masa lalu untuk terus berjaya.

“Kini saya gembira untuk mengatakan bahawa terdapat perubahan yang ketara di peringkat pentadbiran Proton. Campur tangan berunsur politik dalam pentadbiran era Tun Mahathir telah berakhir.

“Sekarang adalah masa untuk belajar (pengajaran) masa lalu dan langkah-langkah yang serius serta pembaharuan untuk dilakukan bagi syarikat itu kembali ke landasan yang betul dan mencapai potensinya sekali lagi,” katanya.

Najib berkata demikian semasa majlis pelancaran Proton Perdana Generasi ke-4 di PICC, Putrajaya, pagi ini.

Kereta proton ini dipasarkan dengan segmen D varian 2.0 dan 2.4 yang menampilkan kereta sedan eksekutif yang sofistikated serta bergaya.

Ia ditawarkan pada harga RM113,888 dan RM138,888 bagi varian 2.0 dan 2.4.

Katanya lagi, sejak model pertamanya - Proton Saga - dilancarkan pada tahun 1985, Proton telah menghasilkan lebih empat juta kereta, dan ia telah menjadi satu jenama nasional yang sangat terkenal.

Namun, sejak syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1983, kerajaan telah menyediakan geran dan pelbagai bentuk bantuan kepada Proton dengan kos hampir RM14 bilion.

Bagaimanapun, penguasaan pasaran syarikat itu dalam industri automotif tempatan pernah mencapai puncak 74 peratus pada tahun 1993, tapi ia semakin jatuh sehingga 15 peratus pada hari ini.

“Proton tidak berada pada kedudukan yang sepatutnya. Ia tidak mempunyai keupayaan penyelidikan dan pembangunan yang betul serta skala pengeluaran yang diperlukan untuk kekal berdaya saing,” katanya.

Pada bulan April yang lalu, kerajaan meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion untuk membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut membuat pembayaran kepada vendor yang membekalkan komponen kepadanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Najib berkata, pinjaman itu diberikan kerana keperluan yang mendesak kerana terdapat kelemahan yang serius dalam Proton.

“Proton berkembang? Ya,ia kerana kerajaan membantunya. Industri kereta kita berkembang di bawah perlindungan (kerajaan) dengan kuota ke atas saiz enjin dan rakyat Malaysia membayar duti import yang tinggi ke atas kereta asing.

“Pada masa-masa ada rasa keangkuhan - bahawa Proton boleh pelbagai perkara kerana kerajaan akan sentiasa membantu. Dua kilang dibina dan mampu menghasilkan 400,000 unit setahun. Tetapi pada tahun lepas, Proton hanya berjaya jual 102,000 unit kereta.

“Terdapat terlalu banyak campur tangan politik dalam strategi Proton, pengurusan - termasuk kakitangan dan model perniagaan,” katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS