Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan libat nyawa PM dalam lawak bodoh kamu, Rafizi'
Diterbitkan:  Jun 14, 2016 3:40 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Seorang pemimpin Umno bahagian membidas Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli kerana membuat gurauan mengenai nyawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menyifatkan kenyataan mengenai "bom atom" sebagai "jenaka bodoh", Syed Ali Alhabshee berkata Rafizi sepatutnya menunjukkan kecerdikan sesuai dengan kedudukannya sebagai ahli parlimen.

"Walaupun lawak bodoh dan Rafizi kata ia sekadar jenaka, tetapi 'ugutan' tersebut amat serius kerana membabitkan pelanggaran undang-undang," tegasnya.

Ketua Umno bahagian Cheras itu berkata kenyataan itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyerupai ugutan jenayah.

"Jika nak buat lawak bodoh pun biarlah berpada, ini membabitkan nyawa manusia, apatah lagi pemimpin negara," katanya.

"Rafizi mensasarkan (bom) kepada Najib yang juga Presiden Umno, ini berupa niat jahat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," tegasnya lagi.

Syed Ali berkata, menjadi perkara biasa bagi pemimpin pembangkang mencari sebab menafikan kenyataan mereka apabila disiasat pihak polis.

"Rafizi perlu segera diheret kemuka pengadilan, ini bukan hanya membabitkan Najib, tetapi berupa satu ugutan bom, ia amat serius dan mengancam keselamatan negara," tegasnya lagi.

Semasa ceramah baru-baru ini di Kuala Kangsar, pemimpin PKR itu menggesa pengundi menyokong calon Parti Amanah Negara (AMANAH) Ahmad Termizi Ramli, seorang ahli fizik nuklear.

Beliau bergurau bahawa jika dipilih, Termizi akan diminta melontarkan bom atom kepada Najib di Parlimen. Ini menyebabkan beberapa penduduk tempatan memfailkan laporan polis terhadap ahli parlimen Pandan itu.

Rafizi kemudiannya berkata beliau hanya bergurau, dan berharap polis akan melihat sisi yang lebih ringan daripada komen beliau.

Bagaimanapun pagi ini, Ketua Polis Perak, Ab Rahim Hanafi mengesahkan siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS