Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi tuntut pendirian, dakwa Mastura calon Rosmah
Diterbitkan:  Jun 15, 2016 6:42 AM
Dikemaskini: 7:40 AM

PKR hari ini membangkitkan spekulasi bahawa calon BN Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid gagal mendapat sokongan padu pelbagai peringkat dalam Umno.

Beliau mendakwa terdapat desas-desus di kalangan pengundi dan jentera parti itu bahawa Mastura mendapat sokongan padu Rosmah kerana sama-sama berasal daripada Negeri Sembilan.

“Apakah benar pencalonan Datin Mastura untuk menjadi calon Umno/BN di Kuala Kangsar mendapat dukungan kuat Datin Seri Rosmah Mansor berbanding calon-calon lain, sehinggakan akhirnya menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak dalam Umno sendiri, terutamanya di peringkat akar umbi Umno Kuala Kangsar?” soalnya.

Mengakui tiada maklumat lanjut berkaitan dakwaan itu, Rafizi menuntut jawapan daripada kepimpinan Umno dan BN.

Sementara itu, beliau juga menuntut Mastura menyatakan pendirian dalam kontroversi melibatkan Rosmah, dalam isu peruntukan kepada isteri perdana menteri.

Katanya, Mastura harus membuat pendirian itu jika beliau terpilih sebagai anggota Dewan Rakyat dan berdepan usul Pakatan Harapan berkaitan perkara itu.

“Saya menggesa supaya Datin Mastura berlaku adil kepada pengundi dengan memberi pendirian yang jelas mengenai perkara ini,” katanya.

Dalam kenyataan hari ni, Rafizi berkata kenyataan terkini mantan ketua Umno Kuala Kangsar Datuk Ramly Zahari mengesahkan desas-desus bahawa Mastura tidak mendapat sokongan mutlak dalam Umno.

Lebih-lebih lagi, kata Rafizi, beliau bukanlah anak tempatan.

Sinar Harian melaporkan Ramly, yang dispekulasi merajuk tidak terpilih sebagai calon, mengaku terkilan dengan Mastura yang didakwa dingin dengannya.

Sinar melaporkan Ramly meluahkan rasa terkilan terhadap peristiwa ketika majlis bacaan tahlil arwah suaminya apabila diminta beredar oleh ahli keluarga Mastura.

Pegawai Rosmah tegur Rafizi

Sementara itu, pegawai khas isteri perdana menteri Datuk Rizal Mansor (gambar) menegaskan bahawa Mastura adalah calon BN yang diputuskan pucuk pimpinannya.

Beliau juga menegur sikap Rafizi yang menurutnya mengaitkan Rosmah untuk meraih populariti.

“Datin Seri Rosmah Mansor tiada apa-apa jawatan dalam parti.

“Kenapa Rafizi perlu bergantung dengan nama Datin Seri Rosmah untuk popular?” katanya.

Pilihan raya kecil parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan seorang bebas.

Mastura ialah balu bagi penyandang kerusi itu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang meninggal dunia akibat nahas helikopter semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini.

Mastura akan berdepan calon PAS Dr Najihatussalehah Ahmad, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (AMANAH) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (bebas).

Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar, terdiri 22,496 Melayu, Cina (7,757), India (2,287), Bumiputera Sarawak (16), Bumiputera Sabah (13) dan Orang Asli (330).

Lihat Komen
ADS